DUNIA

PERANG IRAN: TRUMP UMUM GENCATAN SENJATA DUA MINGGU

08/04/2026 09:37 AM

WASHINGTON, 8 April (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa mengumumkan penggantungan tindakan ketenteraan selama dua minggu terhadap Iran susulan perbincangan dengan pemimpin Pakistan.

Trump berkata selepas perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Darat Marshal Asim Munir, beliau bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, bergantung pada Iran membuka semula Selat Hormuz "sepenuhnya, serta-merta dan dengan selamat", lapor Anadolu Ajansi.

“Saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman dan serangan Iran bagi tempoh dua minggu.

"Ini akan menjadi gencatan senjata bagi kedua-dua belah," menurut hantaran di platform Truth Social beliau.

Beliau menyatakan objektif ketenteraan AS telah pun dipenuhi dan jeda dua minggu akan membolehkan kedua-dua pihak memuktamadkan perjanjian yang komprehensif.

Sebelum ini, Trump memberi tarikh akhir untuk Iran membuka semula Selat Hormuz dan membolehkan bekalan minyak dan gas melalui selat itu semula menjelang 8 malam Waktu Timur (0000GMT Rabu).

Sharif meminta pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata selama dua minggu untuk "membenarkan diplomasi mencapai penamatan perang yang konklusif" dalam catatan di X.

Trump berkata AS menerima cadangan 10 perkara daripada Iran dan "percaya ia adalah asas yang boleh dilaksanakan untuk berunding."

“Hampir semua perkara perbalahan lepas telah dipersetujui antara AS dan Iran, namun tempoh dua minggu akan membolehkan perjanjian itu dimuktamadkan dan disempurnakan," tambahnya.

Sementara itu, CNN, memetik seorang pegawai Rumah Putih, melaporkan Israel juga sebahagian daripada gencatan senjata selama dua minggu dengan Iran dan telah bersetuju untuk menangguhkan kempen pengebomannya ketika perbincangan diteruskan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan