AM

BUAH OREN ‘KING OF CITRUS’ DARI TAIWAN KEMBALI KE PASARAN MALAYSIA, STOK TERHAD

08/04/2026 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Buah oren Taichung Murcott dari Taiwan, yang lebih dikenali sebagai ‘King of Citrus’ kembali ke pasaran Malaysia pada musim ini, namun dalam stok yang terhad berikutan pengeluaran rendah. 

Pengarah bahagian ekonomi Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia, James Chang, berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini buah oren itu semakin mendapat permintaan dalam kalangan pengguna Malaysia.

“Bagaimanapun, iklim yang tidak menentu dan hujan yang kurang tahun lepas telah menjejaskan hasil (buah itu) secara keseluruhan, dengan hanya satu kontena dieksport ke Malaysia tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu bagi menunjukkan ciri versatil buah tersebut, Taiwan menjalin kerjasama buat pertama kalinya dengan jenama Malaysia Carpenter’s Daughter, melalui cabang pencuci mulutnya Rach Dessert & Ice Cream, memperkenalkan aiskrim oren Murcott edisi terhad yang diperbuat daripada bahan semula jadi.

Oren Taichung Murcott dapat dikenali menerusi warna kulit rona oren-merahnya yang terang, nipis dan mudah dikupas, serta isinya yang berair dengan rasa masam manis yang seimbang.

Menurut kenyataan itu, Taichung merupakan kawasan pengeluaran utama Taiwan bagi buah oren Murcott, dengan kawasan penanaman seluas kira-kira 597 hektar dan pengeluaran tahunan melebihi 10,000 tan.

"Kualiti buah ini terhasil daripada variasi suhu yang unik di wilayah ini, sistem sungai yang subur dan amalan pertanian yang sangat teliti.

"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, eksport telah berkembang ke pasaran termasuk Brunei, Malaysia, Kanada dan Singapura," maklum kenyataan itu.

Sementara itu, pengasas bersama Rach Dessert & Ice Cream, Rachel Tan berkata pertama kali melihatnya beliau terus tertarik dengan warna terang oren-merah buah tersebut. 

Beliau berkata kebanyakan warna dan aromanya datang daripada bahagian kulitnya, memberikannya aroma yang lebih menonjol berbanding oren sitrus biasa.

“Buahnya berair, pejal apabila disentuh dengan rasa yang seimbang, tekstur yang licin secara semula jadi kerana kandungan seratnya yang rendah. Apabila dijadikan aiskrim, ia memberikan rasa yang ringan dan menyegarkan tanpa rasa asid yang berlebihan,” katanya.

Pengarah Jabatan Pemasaran Persatuan Peladang Daerah Shigang Bandar Taichung, Fu Yu-Chin, berkata pengguna boleh memilih oren Murcott yang berkualiti dengan mencari batang yang sedikit hijau yang menunjukkan kesegarannya, kulit yang licin bagi rasa yang lebih manis dan bentuk yang bulat padat. 

Oren Murcott Taichung kini boleh didapati di pelbagai saluran runcit di Malaysia, termasuk pasar raya AEON, serta cawangan Star Grocer dan Whole Foods di bawah Khaishen Trading.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan