ISTANBUL, 10 April (Bernama-Anadolu) -- Pejabat media kerajaan Gaza pada Jumaat menafikan dakwaan utusan Board of Peace, Nicolay Mladenov bahawa 602 trak bantuan memasuki wilayah itu sehari sebelum, sebaliknya memaklumkan hanya 207 trak berjaya memasuki Gaza, termasuk 79 yang membawa bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Mladenov, wakil Board of Peace bagi Gaza berkata menerusi platform X pada Khamis bahawa “602 trak memasuki Gaza hari ini dengan membawa bekalan penting untuk keluarga yang sudah terlalu lama menunggu.”
“Beginilah keadaan akses berskala besar dan ia mesti menjadi penanda aras harian, bukannya pengecualian,” kata beliau.
Bagaimanapun, pejabat media Gaza dalam satu kenyataan menyifatkan angka yang dinyatakan Mladenov sebagai “palsu, tidak tepat dan tidak boleh dipercayai.”
“Angka sebenar bagi 9 April menunjukkan hanya 207 trak memasuki Semenanjung Gaza, termasuk 79 trak bantuan,” menurut kenyataan itu, sambil menjelaskan baki trak membawa barangan komersial untuk syarikat swasta.
Pejabat itu menegaskan bahawa jumlah trak yang memasuki enklaf berkenaan “tidak memenuhi tahap tindak balas kemanusiaan yang diperlukan dan sama sekali tidak mencerminkan akses berskala besar seperti didakwa Mladenov.”
Ia turut menegaskan bahawa pelaksanaan protokol kemanusiaan di bawah perjanjian gencatan senjata oleh Israel tidak melebihi 38 peratus daripada jumlah yang dipersetujui.
“Penyelewengan fakta tidak dapat menyembunyikan skala malapetaka itu dan juga tidak melepaskan mana-mana pihak daripada tanggungjawab undang-undang serta kemanusiaannya,” menurut kenyataan itu.
Menurut pejabat media Gaza, protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata yang ditandatangani pada Oktober menetapkan kemasukan 600 trak bantuan ke enklaf itu setiap hari, termasuk 50 trak bahan api, namun pematuhan Israel tidak melebihi 38 peratus.
Tentera Israel didakwa melakukan pelanggaran harian terhadap gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, mengorbankan 736 orang dan mencederakan 2,035 yang lain setakat 18 Mac, menurut data Kementerian Kesihatan Palestin.
Israel melancarkan perang ke atas Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin, mencederakan kira-kira 172,000 yang lain, serta memusnahkan sekitar 90 peratus infrastruktur awam di wilayah terkepung itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
