FOKUS BERNAMA

KRISIS TENAGA GLOBAL: BUKA PELUANG BAHARU PARIWISATA MALAYSIA

09/04/2026 10:32 AM


From Nina Muslim

Baru sahaja pulih daripada sekatan perjalanan yang dikenakan semasa pandemik COVID-19, industri pelancongan Malaysia kini berkemungkinan terjejas akibat perang di Asia Barat yang dipacu oleh serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran serta penutupan Selat Hormuz, iaitu laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak global.

Kelewatan dan gangguan penerbangan serta pembatalan tempahan oleh pelawat dilaporkan setiap hari, selain kenaikan harga minyak dan beban subsidi bahan api Malaysia yang meningkat hingga RM4 bilion sebulan.

Menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), kerajaan menetapkan sasaran 47 juta ketibaan pelancong antarabangsa dan hasil sebanyak RM329 bilion. TMM2026 bermula dengan baik apabila jumlah pelawat antarabangsa pada Mac meningkat kepada 2.8 juta berbanding 2.76 juta bagi tempoh sama tahun lalu. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan berkata peningkatan itu disokong permintaan kukuh daripada pasaran utama Asia.

“Tidak dinafikan, situasi semasa memang mencabar,” kata Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Nigel Wong kepada Bernama melalui Google Meet.

“Masalah utama ialah peningkatan kos yang mendadak. Tiada siapa, khususnya dalam industri pelancongan, mampu menyerap kenaikan harga yang ketara dalam operasi.”

Namun, apabila pintu dibuka dan ribuan pengunjung membanjiri Pameran MATTA 2026 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia hujung minggu lalu untuk mencari tawaran terbaik, keterujaan mereka jelas menunjukkan satu hakikat - pelancongan, atau pariswisata, tidak terhenti, sebaliknya berubah arah.

 

PERUBAHAN TUMPUAN

Pengusaha pariwisata di pameran itu bimbang tentang perang Iran serta kesan kenaikan harga bahan api dan diesel terhadap perniagaan mereka. Walaupun mempunyai pelan sandaran seperti pakej bajet dan memberi tumpuan kepada pelancong dari Asia Selatan, Asia Timur serta ASEAN, mereka tetap menjangka harga perkhidmatan perlu dinaikkan tidak lama lagi.

Eksekutif Pemasaran Ghani Generation Travel Holidays Wan Mohd Shahfiz Wan Shah Jaman berkata pihaknya menawarkan lebih fleksibiliti bagi pakej ke Sabah dengan memperkenalkan pilihan mampu milik selain pakej eksklusif.

pic-2

“Untuk pakej bajet, kami menukar hotel daripada tiga bintang kepada dua bintang,” katanya. “Kami juga memilih lokasi yang lebih murah untuk dilawati pelanggan.

“Kalau dalam pakej eksklusif ada tempat lawatan kenakan tiket RM20, untuk pakej bajet kami tukar tempat yang lagi murah,” tambahnya.

Menurutnya, ramai pelanggan menghubungi mereka untuk membatalkan hasrat ke Sabah kerana kos penerbangan ke Sabah atau Sarawak kini setanding, kalaupun tidak lebih mahal, berbanding destinasi seperti Bangkok dan Bali.

Katanya majoriti pelanggan syarikatnya dari China dan Jepun, dan beliau berharap pelawat dari negara-negara tersebut akan terus datang walaupun berlaku krisis di Asia Barat.

Pandangan sama turut disuarakan pengusaha lain. 

Pengurus pemasaran Thistle, Farah Najwa dan pengarah jualan M. Shamini berkata mereka melihat peningkatan pembatalan serta penangguhan persidangan dan mesyuarat, sekali gus memaksa mereka lebih fleksibel terhadap tempahan di resort mereka di Port Dickson.

“Kini kami terpaksa menurunkan harga mengikut bajet pelanggan,” kata Shamini.

pic-3

Farah pula berkata caj bagi aktiviti yang ditawarkan resort mereka dijangka meningkat, sekali gus memburukkan lagi keadaan.

Sementara itu, Pengarah Legend Admire dan Golden Eagle Cruise di Langkawi, Leow Cheng Seong berkata walaupun kenaikan harga belum ketara, mereka sedang melakukan persiapan untuk menghadapi kemungkinan tersebut.

Pada masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan dengan sikap sesetengah pengusaha yang mungkin mengorbankan aspek keselamatan demi keuntungan, seperti memuatkan bot mereka melebihi kapasiti sambil mengurangkan jumlah perjalanan.

“Tindakan ini tidak wajar, tetapi sudah ada syarikat melakukannya. Untuk menampung kerugian, mereka tambah bilangan penumpang (melebihi had bot),” katanya.

pic-4

Dari segi syarikatnya, beliau berkata mereka mempunyai pelan sandaran seperti mengurangkan perbelanjaan tidak perlu jika keadaan bertambah buruk.

Wong daripada MATTA pula berharap kerajaan membenarkan pengenaan caj tambahan yang boleh diselaraskan selagi konflik itu berterusan.

 

PELUANG

Penganalisis Maryam Ismail pula menggesa industri pelancongan mengambil peluang ini untuk menjadikan Malaysia sebagai hab transit dan pelancongan.

Menurut Majlis Pelancongan dan Pengembaraan Dunia (WTTC), lapangan terbang di Asia Barat seperti Dubai, Doha, Bahrain dan Abu Dhabi mengendalikan lima peratus ketibaan antarabangsa dan 14 peratus trafik transit udara global.

pic-5

“Mereka yang menggerakkan industri pelancongan perlu memikirkan semula cara promosi… Sebelum ini, negara GCC (Majlis Kerjasama Teluk dianggotai Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu) dianggap selamat, tetapi tanggapan itu kini telah berkecai,” kata Maryam, penganalisis Asia Barat di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.

Beliau berkata konflik di Asia Barat telah membahagikan industri pelancongan kepada laluan Timur ke Timur dan Barat ke Barat; bukan lagi sekadar Utara dan Selatan.

“Ada potensi besar untuk Malaysia membina semula kedudukannya kerana lokasi kita sangat strategik dalam menjadi hab transit lebih besar, khususnya bagi rantau Timur,” katanya ketika ditemui di luar Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 di sini.

Menurut Maryam, sekarang adalah peluang untuk Malaysia beralih ke pasaran Timur dan menjadi hab transit bagi rantau Timur dan Pasifik.

Pada 11 Mac, WTTC melaporkan destinasi di Asia Barat kehilangan kira-kira US$600 juta sehari dalam perbelanjaan pelancong sejak konflik bermula pada 28 Feb.

Menurut laporan pelancongan, Turki dijangka mengambil alih trafik transit bagi rantau berkenaan memandangkan Dubai, Doha dan Abu Dhabi tidak lagi dapat menampungnya, manakala negara Caribbean serta Sepanyol, Itali, Greece dan Portugal pula mencatat peningkatan tempahan.

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan