AM

KEMENTERIAN PERPADUAN PERKENAL MODUL BAHARU, PERKASA NILAI INSANIAH DAN ADAB

09/04/2026 11:31 AM

PUTRAJAYA, 9 April (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan Modul Pendayaupayaan Keharmonian Merentas Agama dan Budaya sebagai inisiatif berterusan bagi memperkasa penerapan nilai insaniah, adab serta budi pekerti dalam kalangan masyarakat.

Dalam kenyataan hari ini, kementerian itu memaklumkan modul tersebut akan diperkenalkan melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

"Dalam usaha berterusan memperkukuh pemahaman antara agama di negara ini, Kerajaan MADANI menekankan komitmen yang teguh untuk memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara dan diperkasakan.

"Malaysia sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian agama, kaum dan etnik. Kepelbagaian ini bukan sekadar realiti sosial, malah merupakan aset terbesar negara yang menjadi asas kepada kekuatan dan kestabilan nasional," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang berkata modul itu dibangunkan secara komprehensif sebagai rujukan utama kepada pegawai agensi kerajaan, selain boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta serta masyarakat umum. 

Beliau berkata ia dirangka dengan pendekatan yang lebih dinamik dan berimpak tinggi melalui penggunaan kaedah komunikasi yang inklusif serta sensitif budaya. 

"Modul ini turut menekankan elemen latihan praktikal berasaskan situasi sebenar dalam komuniti bagi memastikan kefahaman yang lebih mendalam serta aplikasi yang berkesan di lapangan.

“Prinsip ‘Faham, Hormat, Terima dan Meraikan’ pula perlu dijadikan panduan dalam kehidupan seharian rakyat sebagai teras kepada pembinaan integrasi nasional yang utuh,” katanya 

Aaron berkata setiap individu memainkan peranan penting sebagai ejen perpaduan dalam membina masyarakat yang saling memahami, menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan