JENAYAH & MAHKAMAH

PEGAWAI TENTERA DIDENDA RM1,700 TUMBUK RAKAN WANITA

09/04/2026 02:54 PM

ALOR GAJAH 9 April (Bernama) -- Seorang pegawai tentera didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan rakan wanitanya pada Oktober lepas.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman tersebut ke atas R Rajakogillan, 35, serta memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Rajakogillan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap wanita berusia 44 tahun itu dengan menumbuk bahagian belakang kepala mangsa sebanyak tiga kali.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan parkir Taman Terendak Heights, Masjid Tanah, pada 7.30 malam, 5 Okt lepas. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Goh Jee Chee yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum atas alasan anak guamnya baru sahaja berkahwin. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan