KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Malaysia perlu terus memastikan konsep Kepusatan ASEAN dan Visi ASEAN 2045 diperkukuh sebagai pemangkin kepada kerjasama serantau dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik global yang semakin mencabar, khususnya konflik di Asia Barat.
Pakar Perang Saraf, Penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata walaupun ASEAN bukan blok pakatan berasaskan ketenteraan, namun ia cukup berperanan dalam mempertahankan kestabilan melalui pendekatan diplomasi yang berterusan dan berprinsip.
Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan negara anggota ASEAN kekal bersatu serta mampu bertindak secara kolektif dalam menangani sebarang tekanan luar termasuk konflik geopolitik dan persaingan kuasa besar.
“Malaysia berupaya mengemudi pendekatan diplomatik ini bagi memastikan keseragaman pemikiran dalam kalangan pemimpin ASEAN, sekali gus menjadikan konsep Kepusatan ASEAN sebagai benteng asas terhadap ancaman serantau,” katanya kepada Bernama.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Malaysia perlu mengamalkan pendekatan diplomasi bijaksana dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang menjejaskan rantaian bekalan dan harga komoditi.
Perdana Menteri berkata walaupun pendirian Malaysia tegas terhadap isu antarabangsa, hubungan perdagangan dan ekonomi dengan kuasa besar dunia perlu diurus secara strategik, di samping mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai negara tanpa menjejaskan kepentingan nasional.
Noor Nirwandy berkata Malaysia perlu mengekalkan dasar berkecuali sebagai asas utama dalam hubungan antarabangsa selain memperkukuh pertahanan negara daripada aspek pemikiran, aset dan kesepaduan pertahanan nasional.
“Namun, aspek paling penting ialah diplomasi dan kesatuan ASEAN sebagai kekuatan utama rantau ini,” katanya, sambil menekankan keupayaan diplomasi yang kukuh mampu mengelakkan ketegangan daripada bertukar menjadi konflik terbuka.
Beliau berkata usaha memperkukuh ketahanan negara tidak hanya tertumpu kepada aspek luar, sebaliknya perlu disokong dengan kekuatan dalaman termasuk perpaduan rakyat dan keutuhan sosial.
“Penyatuan pemikiran berasaskan keselamatan (kesedaran dalam mengurus risiko keselamatan bagi melindungi negara) akan mengelakkan perdebatan isu remeh dalam keadaan geopolitik yang mencabar dan ekonomi yang tidak menentu,” katanya.
Beliau berkata kerajaan pada masa sama perlu memperkasa masyarakat melalui pelan komunikasi strategik berasaskan patriotisme dan kesepaduan nasional serta melahirkan lebih banyak pemimpin yang berperanan sebagai ejen penyatuan.
“Konsep seperti ‘Malaysia MADANI’ dan kesepaduan pemikiran berteraskan semangat patriotisme perlu diperkukuh dengan sokongan pemimpin dan tokoh masyarakat bagi memastikan rakyat lebih bersedia menghadapi sebarang cabaran luar jangka, termasuk krisis ekonomi global atau konflik serantau tanpa menjejaskan kestabilan negara.
“Malaysia mempunyai daya tahan politik yang kukuh ketika ini, namun masyarakat perlu terus menyokong pembangunan negara dan membina minda keselamatan. Ahli politik, sama ada kerajaan atau pembangkang harus mengutamakan isu keselamatan negara dan ancaman geopolitik dengan pendekatan yang lebih bersatu,” katanya.
Beliau berkata Malaysia mampu terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global menerusi gabungan kekuatan diplomasi, dasar berkecuali serta perpaduan nasional yang utuh.
Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr P. Sivamurugan berkata Malaysia sebagai negara kecil dan sederhana perlu bertindak secara bijak dan tidak menggunakan kelantangan suara semata-mata.
Beliau berkata strategi utama termasuk amalan dasar berkecuali bagi memastikan Malaysia kekal seimbang dalam hubungan dengan kuasa besar serta usaha diversifikasi ekonomi perlu diperkukuh bagi mengurangkan kebergantungan kepada sektor tertentu dan meningkatkan daya tahan terhadap kejutan luar.
Sivamurugan berkata pengukuhan keselamatan makanan dan tenaga menjadi keutamaan bagi menjamin bekalan yang stabil dan mampan, di samping diplomasi pelbagai hala perlu diperkasa dengan ASEAN sebagai pelindung kolektif dalam mengekalkan kestabilan.
“Perpaduan domestik juga perlu terus diperkukuh bagi mengelakkan perpecahan politik dan memastikan kestabilan negara kekal terpelihara.
“Negara kecil tidak menang dengan kekuatan tetapi dengan kebijaksanaan dan keseimbangan,” katanya, sambil menekankan kepentingan pendekatan strategik yang berhati-hati namun berkesan.
Beliau yang berpendapat Malaysia mempunyai daya tahan politik yang kukuh berasaskan sistem demokrasi matang, institusi berfungsi, ekonomi pelbagai sektor dan pengalaman mengurus krisis sebelum ini bagaimanapun berkata risiko polarisasi politik dan etnik, ketidakstabilan dalaman yang dimanipulasi serta keletihan politik rakyat boleh menjejaskan ketahanan negara.
-- BERNAMA
