Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KAHERAH, 10 April (Bernama) -- Bagi Mahmoud Ghneim, seorang rakyat Palestin, jarak dan keletihan hanyalah perkara kecil dalam misinya yang tidak berbelah bahagi untuk berbakti kepada tanah airnya.
Selaku Ketua Jabatan Projek Cinta Gaza Malaysia (CGM) di Gaza, Mahmoud menempuh perjalanan mencabar hampir dua hari merentasi sempadan untuk tiba di hab koordinasi di Mesir bagi Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena ke Gaza.
Dipindahkan dari Gaza ke Iraq, lelaki berusia 35 tahun itu tidak teragak-agak apabila dipanggil untuk menyokong misi berkenaan.
"Kami bergerak dari Iraq ke Turkiye, kemudian dari Istanbul ke Kaherah. Perjalanan mengambil masa lebih 40 ke 45 jam. Ini hanyalah sebahagian kecil daripada sumbangan kami bersama-sama saudara di Malaysia," katanya di gudang MAPIM-Al Khair di sini.
Berkhidmat selama enam tahun dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia itu, Mahmoud menzahirkan penghargaan yang mendalam apabila menyaksikan sukarelawan dari Asia Tenggara tiba di Timur Tengah untuk menyokong usaha bantuan kemanusiaan.
Beliau berkata kehadiran rakyat Malaysia, yang mengembara dari timur jauh Asia, memberikan dorongan semangat kepada rakyat Gaza, di tengah-tengah krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Sebagai rakyat Gaza, saya sangat berbangga apabila melihat saudara Muslim dari timur Asia, dari rantau paling jauh, sanggup meninggalkan tugas dan kehidupan selesa mereka untuk datang ke antara tempat yang paling sukar bagi membantu penduduk Gaza.
"Ini membuatkan kami bangga akan perpaduan kita … kita semua bersatu sebagai umat Islam dalam perkara ini," katanya.
Selain skala logistik penghantaran 30 kontena bantuan itu, Mahmoud berkata hubungan antara Gaza dengan Malaysia telah berakar umbi dengan kasih sayang dan saling menghormati yang mendalam.
Beliau berkata ramai penduduk Gaza menganggap Malaysia sebagai antara negara asing yang paling mereka hargai, dengan mengambil kira sokongan berterusan daripada rakyat, kerajaan dan institusi negara.
Mengimbas kembali kesan peribadi akibat konflik terbabit, Mahmoud berkata beliau kehilangan ahli keluarga dan teman rapat.
Walaupun dalam kesedihan yang mendalam, beliau tetap teguh dalam misinya, melihat bantuan kemanusiaan dari Malaysia itu sebagai talian hayat penting yang memberikan harapan kepada rakyat Palestin pada saat paling gelap mereka.
Sementara itu, bagi sukarelawan dari Malaysia Nik Abd Aziz Nik Mohd, penglibatan dalam misi itu ialah satu tanggungjawab yang menuntut ketabahan mental dan fizikal, terutama dalam berdepan dengan cabaran logistik serta situasi geopolitik yang tidak boleh diduga.
Nik Abd Aziz berkata koordinasi antara NGO serta saluran diplomatik kerajaan ialah kunci utama bagi memastikan 30 kontena barangan kering tersebut tidak semata-mata terkandas di gudang.
“Kita lihat bagaimana pihak kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersama-sama menghubungi pihak di Mesir untuk memastikan segala bantuan ini berjalan lancar.
“Dengan adanya hubungan diplomatik antara negara-negara ini dan juga koordinasi daripada pihak NGO itu sendiri, saya rasa perjalanan untuk menghantar misi bantuan ini akan sampai kepada penduduk di Gaza,” katanya.
Beliau berkata sentimen daripada netizen dan sifat skeptikal masyarakat luar tetap wujud, namun beliau kekal fokus kepada matlamat kemanusiaan.
“Isu kemanusiaan ini bersifat global yang tidak kira agama sekalipun bangsa, kita melihat perkara ini satu daripada tuntutan,” katanya.
Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza 2026 anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu membawa 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.
Misi berkenaan turut disertai media Malaysia termasuk wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).
-- BERNAMA
