Daripada Ahmad Aidil Syukri Hamzah
KAHERAH, 9 April (Bernama) -- Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang akan memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 12 April ini membawa matlamat strategik untuk melumpuhkan “hasbara” atau mesin propaganda palsu rejim Zionis di pentas dunia.
Chef de Mission Sumud Nusantara Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata misi kali ini adalah kesinambungan kejayaan misi Sumud Nusantara 1.0 dalam membangkitkan mobilisasi massa dan kesedaran masyarakat antarabangsa mengenai situasi sebenar di Palestin.
Beliau berkata impak gerakan itu telah memaksa rejim zionis meningkatkan belanjawan propaganda mereka secara luar biasa bagi menangkis kebangkitan naratif pro-Palestin.
“Bukti kejayaannya ialah apabila zionis Israel pada tahun ini memaklumkan bahawa kos untuk hasbara yang mereka letakkan dalam belanjawan baharu mereka adalah sebanyak USD750 juta berbanding USD150 juta pada 2025,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan akhir Misi Bantuan Kemanusiaan 30 kontena Malaysia ke Gaza, di sini.
Nadir berkata GSF 2.0 bukan sekadar pergerakan kapal, sebaliknya satu usaha kolektif untuk memecah kesunyian dan memastikan cerita palsu yang dibawa rejim zionis dapat ditenggelamkan menerusi sokongan padu masyarakat dunia.
Beliau berkata perancangan rapi telah dibuat melibatkan analisis pakar geopolitik dan bekas tentera bagi memastikan misi ini menjentik semula kesedaran dunia di saat rejim Israel berada dalam fasa paling kritikal.
“Tujuan yang paling besar ialah untuk melawan hasbara iaitu naratif yang cuba didokong oleh Israel, yang cuba ditolak kepada seluruh media antarabangsa dan masyarakat dunia seolah-olah mereka masih lagi dizalimi dan mereka sedang mempertahankan negara mereka,” katanya.
Nadir berkata misi pelayaran kali ini adalah gerakan kemanusiaan menyeluruh yang turut mendapat sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan suara keadilan untuk Palestin terus bergema.
-- BERNAMA
