JENAYAH & MAHKAMAH

34 LELAKI DIDENDA KERANA MERUSUH DI PUSAT HIBURAN

10/04/2026 05:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Mahkamah Majistret hari ini mendenda 34 lelaki selepas kesemua mereka mengaku bersalah menyertai rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras minggu lepas, yang turut membabitkan senjata api dan bahan letupan.

Majistret Faezahnoor Hassan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada 32 tertuduh berusia antara 21 hingga 57 tahun dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mereka ialah Tan Chee Chin, G. Bathmanathan, M. Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.

Tertuduh lain ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G. Srikanth, A. Ganesan, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.

Dua lagi iaitu Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng, masing-masing berusia 19 tahun, dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Kesemua lelaki itu didakwa telah menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, peluru, bahan letupan, kayu dan batu yang boleh digunakan untuk menyerang dan menyebabkan melecur serta kecederaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat karaoke di Cheras, dekat sini, pada 7.30 malam 5 April dan mereka didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada kesemua tertuduh mengambil kira faktor insiden itu yang telah menimbulkan kekecohan dan kegentaran awam.

Peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab yang mewakili kesemua lelaki itu memohon denda ringan atas alasan pengakuan mereka telah menjimatkan kos dan masa mahkamah selain kesalahan tersebut merupakan kesalahan kali pertama anak guam.

“Mohon peluang kedua kerana anak guam telah menyesal dan memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata kejadian rusuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara pesaing perniagaan serta dendam, dengan kumpulan berkenaan disyaki direkrut oleh sebuah kongsi gelap.

Beliau berkata kumpulan terbabit bertindak memecah masuk premis menggunakan lori dengan melanggar pagar sebelum merosakkan bahagian hadapan dan lobi premis menggunakan senjata seperti kayu besbol.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan