BRUSSELS, 10 April (Bernama-Anadolu) -- Kesatuan Eropah (EU) menggesa pada Jumaat supaya serangan di Lubnan dihentikan serta-merta, menekankan bahawa keganasan berterusan telah menyebabkan kematian orang awam yang serius dan kerosakan meluas kepada infrastruktur awam, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami menuntut pemberhentian serta-merta serangan di Lubnan, yang telah meninggalkan kesan teruk ke atas orang awam dan infrastruktur awam. Jelas, bahawa semua pihak mesti mematuhi sepenuhnya undang-undang kemanusiaan antarabangsa," kata jurucakap Suruhanjaya Eropah Anouar El Anouni kepada pemberita di Brussels.
El Anouni berkata EU menyambut baik pengumuman baru-baru ini mengenai permulaan rundingan damai antara Israel dan Lubnan, menggambarkannya sebagai "perkembangan positif", sambil menekankan bahawa diplomasi kekal sebagai "satu-satunya jalan yang berdaya maju".
Beliau menggesa semua pihak terbabit untuk melibatkan diri “dengan serius dan dengan niat baik” selaras resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan, menyeru pematuhan penuh terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan perlindungan orang awam, infrastruktur awam, pasukan pengaman PBB termasuk UNIFIL, dan petugas kemanusiaan.
Mengenai Tebing Barat yang diduduki, El Anouni yang merujuk pada keputusan Israel untuk menubuhkan 34 penempatan baharu, berkata EU menganggap tindakan sedemikian "dilarang oleh undang-undang antarabangsa" dan melanggar kedudukan lama mengenai langkah unilateral.
“Kami mengecam tindakan unilateral yang dilakukan oleh Israel di Tebing Barat, termasuk di Baitulmaqdis Timur dan kami merujuk kembali kepada pendirian lama yang mengisytiharkan tindakan unilateral ini tidak sah,” katanya.
El Anouni seterusnya menyeru Israel supaya menarik balik keputusan, mematuhi kewajipan antarabangsanya dan memastikan perlindungan penduduk Palestin di wilayah yang diduduki, termasuk Tebing Barat.
-- BERNAMA-ANADOLU
