SUKAN

TNB THUNDERSTARS JUARA PIALA SUMBANGSIH 2026

11/04/2026 07:26 PM

KUALA TERENGGANU, 11 April (Bernama) -- Hasrat Terengganu Hockey Team (THT) untuk mempertahankan gelaran juara Piala Sumbangsih tidak kesampaian selepas tewas 4-5 kepada TNB ThunderStars dalam aksi di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), hari ini.

Bermain di gelanggang sendiri, THT yang dibarisi empat pemain kebangsaan bermula garang apabila meraih gol awal menerusi Faizal Saari yang menyudahkan tolakan mudah pada minit ketiga.

Ia disusuli satu lagi jaringan oleh Faizal pada minit keempat untuk membolehkan THT mendahului 2-0.

Bagaimanapun, kegembiraan kira-kira 3,000 penyokong tuan rumah tidak bertahan lama apabila TNB ThunderStars yang dibarisi 16 pemain skuad kebangsaan, The Speedy Tigers, bangkit meledak gol pertama menerusi pemain import Korea Selatan Jang Jong-hyun yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Beberapa saat sebelum tamat babak pertama, pemain termuda kebangsaan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menghadiahkan gol kedua TNB ThunderStars menerusi pukulan kilas sebelum Mohamad Akimullah Anuar Esook menambah jaringan ketiga pada minit ke-33.

TNB ThunderStars mendahului 3-2 sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang dibimbing Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor terus menggandakan asakan dan menambah gol keempat menerusi Jang Jong-hyun, pakar sudut penalti, pada minit ke-44.

THT yang enggan mengalah bangkit merapatkan kedudukan 3-4 menerusi penyerang import Samkelo Mvimbi pada minit ke-48.

Kapten THT Mohd Fitri Saari kemudian menceriakan kem tuan rumah apabila menyamakan kedudukan 4-4 pada minit ke-52.

Namun, Jang Jong-hyun muncul wira TNB ThunderStars apabila melengkapkan hatrik dengan jaringan kelima pasukan pada minit ke-akhir, sekali gus menghadiahkan trofi Piala Sumbangsih musim 2026.

Kejayaan itu membolehkan TNB ThunderStars membawa pulang trofi dan wang tunai RM5,000.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan