JENAYAH & MAHKAMAH

PENUNTUT UNIVERSITI SWASTA DITAHAN DISYAKI TIKAM WANITA

12/04/2026 11:35 AM

SEPANG, 12 April (Bernama) -- Seorang pelajar universiti swasta ditahan selepas disyaki menikam seorang wanita dalam kejadian di sebuah apartment di Bandar Sunsuria, Sepang, di sini pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman menerusi satu kenyataan hari ini berkata pelajar lelaki berusia 22 tahun itu ditahan pada hari kejadian. 

Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang mengesahkan menerima laporan polis mengenai seorang wanita berusia 34 tahun yang telah dicederakan dengan senjata tajam di kediamannya pada Jumaat.

“Suspek dan mangsa tidak mempunyai sebarang hubungan. Mangsa yang kritikal dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan dilaporkan stabil,” katanya.

Beliau berkata suspek kini direman tujuh hari hingga 16 April dan siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan

“Setakat ini, 10 keterangan saksi telah diambil. Keputusan urin suspek adalah negatif dan suspek tiada sebarang rekod jenayah,” katanya.

Beliau berkata mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspt Muhammad Azroy Amran di talian 014-2723342, IPD Sepang atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis serta menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan