AM

LAWATAN KERJA NORAINI, AKMAL NASRULLAH KE KVDT PERKUKUH KETERJAMINAN BEKALAN TENAGA

13/04/2026 06:38 PM

PUTRAJAYA, 13 April (Bernama) -- Lawatan kerja Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ke Terminal Pengagihan Lembah Klang (KVDT) di Dengkil, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keterjaminan bekalan bahan api negara sentiasa terpelihara serta memperkukuh agenda diversifikasi tenaga.

Menurut kenyataan bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Ekonomi, lawatan itu bertujuan meninjau operasi fasiliti strategik tersebut serta memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam memacu agenda tenaga boleh baharu (TBB) negara, terutamanya dalam mendepani kesan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat yang memberi kesan langsung kepada pasaran tenaga dunia.

"Dalam suasana geopolitik dunia yang semakin mencabar, isu tenaga tidak lagi boleh dilihat hanya dari sudut bekalan semasa.

"Isu ini perlu ditangani secara menyeluruh dalam satu kerangka nasional yang menghubungkan keselamatan tenaga, kekuatan sektor komoditi, kecekapan logistik, ketahanan rantaian bekalan dan daya tahan ekonomi negara," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Noraini menekankan kepentingan peranan PS Pipeline Sdn Bhd dalam menyokong program Biodiesel Negara, dengan kesiapsiagaan menguruskan sumber biobahan api domestik sebagai kunci mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar yang tidak menentu.

"PS Pipeline Sdn Bhd merupakan pemegang lesen sah di bawah KPK yang bertanggungjawab bagi aktiviti mengadun dan menyimpan biobahan api," katanya.

Sementara itu, Akmal Nasrullah menegaskan bahawa operasi di KVDT merupakan komponen penting dalam rantaian bekalan tenaga negara yang menyokong keterjaminan bekalan dan kestabilan ekonomi.

Beliau berkata Malaysia perlu mempercepat diversifikasi campuran tenaga negara agar tidak terlalu bergantung kepada minyak dan gas, dengan pengukuhan penggunaan biodiesel selaras aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Lawatan rasmi berkenaan diadakan di PS Pipeline Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Petronas Dagangan Bhd dan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd, yang mengendalikan fasiliti berkenaan.

KVDT merupakan fasiliti strategik yang menjadi nadi penyimpanan dan pengedaran petroleum negara, khususnya bagi Lembah Klang, selain berperanan sebagai pusat pengadunan biodiesel B7 dan B10 yang utama di wilayah ini.

Fasiliti berkenaan menerima bekalan produk secara berterusan daripada loji penapisan di Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan sekali gus memastikan sistem pengedaran bahan api kekal cekap dan stabil.

Dalam mendepani potensi gangguan rantaian bekalan bahan api fosil global, peranan KVDT menjadi semakin penting sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh sumber tenaga alternatif domestik dan menjamin kestabilan bekalan bahan api di wilayah ekonomi utama negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan