DUNIA

PASARAN GETAH DITUTUP BERCAMPUR-CAMPUR MENJEJAKI NIAGA HADAPAN GETAH SERANTAU

13/04/2026 06:40 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Isnin, menjejaki niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata aktiviti penorehan di wilayah pengeluar getah di Hainan, China ditangguhkan susulan gelombang haba, sekali gus memberikan sokongan jangka pendek kepada harga getah. 

Bagaimanapun, niaga hadapan getah Jepun susut pada Isnin berikutan jangkaan peningkatan bekalan, sementara pengurangan harga fizikal yang turut memberi kesan kepada pasaran. 

Jualan kereta China yang lebih lemah susulan rundingan gencatan senjata antara Amerika Syarikat-Iran yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan, turut menjejaskan sentimen dalam pasaran. 

“Kegagalan rundingan damai AS-Iran di Islamabad menyebabkan gencatan senjata yang rapuh dan tiada rancangan untuk membenarkan eksport tenaga di Asia Barat, sekali gus menjejaskan minat pelabur untuk mengambil risiko. 

“Persatuan Kereta Penumpang China melaporkan bahawa jualan kereta di China susut lebih 17 peratus dalam suku pertama berbanding tahun sebelumnya, selepas negara itu mengurangkan pengecualian cukai pembelian kenderaan boleh baharu,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, peniaga itu berkata penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan kemerosotan pengeluaran getah asli tempatan. 

“Harga minyak meningkat dengan mendadak pada Isnin, melonjak melebihi US$100 setong selepas Presiden AS Donald Trump berkata tentera laut AS akan mula menyekat Selat Hormuz,” tambahnya. 

Ketika ini, minyak mentah Brent meningkat 7.96 peratus kepada US$102.80 setong.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 menyusut sebanyak sembilan sen kepada 814 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat sebanyak lima sen kepada 759.5 sen sekilogram. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan