EKONOMI

AIRWALLEX PERKENAL RANGKAIAN PRODUK PENUH DI MALAYSIA

14/04/2026 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Platform kewangan dan pembayaran global, Airwallex memperkenalkan rangkaian penuh produknya di Malaysia yang akan dilancarkan dalam beberapa minggu akan datang, sekali gus mempamerkan keupayaan kewangan menyeluruh kepada perniagaan di seluruh negara.

Syarikat itu berkata pelancaran berkenaan susulan kelulusan lesen pengeluaran wang elektronik serta lesen Perniagaan Perkhidmatan Wang Kelas A daripada Bank Negara Malaysia, yang membolehkan operasi penuh dijalankan secara tempatan sepenuhnya.

“Airwallex tidak lama lagi akan membolehkan perniagaan di Malaysia melengkapkan pendaftaran secara digital melalui pengalaman yang diperkemas untuk mengakses rangkaian produk global sepenuhnya, termasuk menerima, menyimpan dan mengurus dana melalui dompet berbilang mata wang.

“Ia juga boleh menukar mata wang dengan lancar pada kadar pertukaran asing (FX) yang kompetitif, memindahkan dana ke peringkat global melalui transaksi yang pantas dan kos efektif, serta mengeluarkan kad korporat dengan ciri pengurusan perbelanjaan bersepadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Airwallex berkata keupayaan tersebut membolehkan perniagaan menyatukan aliran kerja kewangan yang sebelum ini berpecah kepada satu platform, sekali gus mengurangkan kerumitan operasi serta meningkatkan keterlihatan dalam operasi antarabangsa.

Menurutnya, perniagaan berpotensi menjimatkan kira-kira RM100 bagi setiap transaksi antarabangsa melalui pengurangan kos pertukaran wang asing dan pemindahan, selain mempercepat kemasukan ke pasaran sehingga dua hingga tiga kali ganda melalui keupayaan membuka akaun tempatan dan mula bertransaksi dalam tempoh beberapa hari.

Ketua Pengembangan Asia Tenggara Andrew Chim berkata sejak memasuki Malaysia, syarikat itu telah membantu syarikat tempatan mengurangkan kos transaksi dengan ketara menerusi infrastruktur pembayaran rentas sempadannya.

“Rangkaian produk penuh kami akan memberikan perniagaan di Malaysia dengan alat untuk berkembang ke peringkat antarabangsa dengan lebih cekap, tanpa kerumitan melibatkan pelbagai pembekal.

“Kami membinanya supaya pengasas perniagaan tidak lagi perlu bimbang mengenai operasi kewangan mereka dan boleh memberi tumpuan kepada pasaran seterusnya,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan