AM

KPDN PULAU PINANG AMBIL TINDAKAN KE ATAS STESEN MINYAK ENGGAN JUAL DIESEL

16/04/2026 12:21 AM

BUKIT MERTAJAM, 15 April (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang mengambil tindakan terhadap pengurusan sebuah stesen minyak di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Juru arah utara di sini, kerana enggan menjual diesel kepada pemandu lori seperti yang tular di media sosial hari ini.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata tindakan segera diambil susulan aduan awam dengan menggerakkan sepasukan lima pegawai penguat kuasa ke lokasi pada 8 malam tadi, dan hasil pemeriksaan fizikal serta semakan dokumen dan rekod mendapati stok diesel masih terdapat di stesen berkenaan.

“Siasatan lanjut mendapati pembekalan diesel B10 daripada depoh ke stesen itu berkurangan kira-kira 50 peratus sejak Isnin lepas. Susulan itu, pihak pengurusan stesen mengutamakan penjualan kepada pelanggan tetap manakala pelanggan lain dihadkan pembelian kepada 20 liter sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata satu notis telah diserahkan kepada pengurusan stesen minyak berkenaan dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata KPDN Pulau Pinang akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi hak pengguna daripada sebarang penyelewengan di pasaran.

Orang ramai diminta menjadi mata dan telinga dengan menyalurkan maklumat serta aduan melalui saluran rasmi KPDN di portal e-Aduan, iaitu kpdn.gov.my atau WhatsApp di talian 019-848 8000 atau pusat panggilan 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Terdahulu, tular dua rakaman video seorang pemandu lori mendakwa pengurusan sebuah stesen minyak di kawasan R&R Juru tidak membenarkannya mengisi diesel atas alasan kekurangan bekalan.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan