AM

INOVASI JADI KEPERLUAN KRITIKAL PASTIKAN SEKTOR AWAM RELEVAN, BERDAYA SAING - KSN

14/04/2026 05:21 PM

SHAH ALAM, 14 April (Bernama)  -- Keupayaan untuk berinovasi bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan kritikal dalam memastikan sektor awam kekal relevan dan berdaya saing, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Berucap pada program Semarakkan Inovasi Sektor Awam Tahun 2026, beliau berkata pendekatan inovasi perlu berteraskan realiti tempatan serta adat resam Malaysia, dengan memanfaatkan asas inovasi domestik yang sedia kukuh bagi meneroka pelbagai peluang melalui pendekatan praktikal.

“Antaranya termasuk penggunaan analitik data untuk meramal keperluan rakyat dengan lebih tepat serta pendigitalan menyeluruh perkhidmatan kerajaan bagi mempercepatkan penyampaian,” katanya pada program itu di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zabidah Safar. 

Menjelas lanjut, Shamsul Azri berkata menerusi pekeliling Kementerian Digital bertarikh 9 Feb 2026, semua kementerian dan jabatan kerajaan diarahkan memulakan proses pendigitalan dalam urusan asas seperti mesyuarat, memo dalaman dan proses pentadbiran sebagai fasa pertama pelaksanaan.

Selain itu, beliau berkata semua Ketua Setiausaha (KSU) dan Ketua Perkhidmatan (KP) turut diarahkan mengemukakan laporan bulanan berkaitan kemajuan pelaksanaan pendigitalan dalam sektor awam.

Beliau berkata inovasi dalam sektor awam tidak seharusnya terhad kepada penciptaan teknologi baharu semata-mata, tetapi turut melibatkan pembaharuan sistem, penambahbaikan proses serta peningkatan kesejahteraan rakyat.

“Inovasi bukan sekadar untuk memenangi anugerah, tetapi harus memberi impak nyata dengan memudahkan urusan rakyat, mempercepat penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan kepercayaan terhadap institusi kerajaan,” katanya.

Beliau turut berkongsi kejayaan beberapa inisiatif di bawah Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR), termasuk mempercepatkan bantuan mangsa bencana dan permohonan e-Kasih daripada satu jam kepada hanya lima minit melalui sistem e-Penghulu.

Selain itu, Shamsul Azri berkata tempoh kelulusan permit pembangunan berjaya dipendekkan daripada 24 bulan kepada 10 bulan di Majlis Perbandaran Kulim melalui sistem E-10, manakala di Majlis Perbandaran Kulai, tempoh tersebut dikurangkan kepada 14 bulan.

“Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan pelaburan, peluang pekerjaan dan hasil pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan sistem Penilaian Prestasi Demerit (DEEP) dalam kalangan pegawai kanan kerajaan turut menunjukkan impak positif, dengan kadar pelaksanaan projek meningkat kepada 122 peratus setakat Disember 2025.

Pada masa sama, katanya projek sakit menurun sebanyak 45 peratus, projek lewat jadual berkurang 16 peratus dan isu ketiadaan perancangan hampir diselesaikan sepenuhnya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan