KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Selepas sedekad dilancarkan, program kesihatan dan kesejahteraan AIA Malaysia yang disokong sains, AIA Vitality membuktikan pemberian insentif terhadap amalan sihat mampu membawa kepada penambahbaikan kesihatan yang signifikan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurut kumpulan itu, platform yang dilancarkan pada 2016 itu adalah program kesihatan dan kesejahteraan komprehensif yang melengkapkan ahli dengan pengetahuan, alatan dan motivasi untuk menjalani kehidupan lebih sihat, dibina berasaskan prinsip sains tingkah laku bagi memacu amalan kesihatan yang mampan.
Program itu turut memberi ganjaran kepada ahli melalui manfaat dan diskaun kerana mengambil langkah proaktif ke arah kesihatan yang lebih baik, termasuk aktiviti fizikal secara berkala, pemakanan seimbang dan pemeriksaan kesihatan rutin.
“Selepas 10 tahun, AIA Vitality berkembang lebih daripada 10 kali ganda dengan mencapai lebih 391,000 ahli di seluruh negara, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap penyelesaian kesihatan berasaskan penglibatan.
“Pada 2025 sahaja, ahli mencatatkan 230 bilion langkah, bersamaan berjalan mengelilingi bumi lebih daripada 4,500 kali serta memperoleh lebih RM18 juta ganjaran hasil amalan sihat yang berterusan,” menurut kumpulan itu dalam kenyataan hari ini.
Program itu dibina berteraskan tiga tonggak utama yang membimbing ahli dalam perjalanan kesihatan mereka, iaitu Ketahui Status Kesihatan Anda, Tingkatkan Kesihatan Anda dan Nikmati Ganjaran Anda.
Sehingga 31 Disember tahun lepas, data Pemeriksaan Kesihatan AIA Vitality menunjukkan impak signifikan dan boleh diukur terhadap kesihatan ahli, dengan 49 peratus mencatatkan peningkatan tekanan darah, 61 peratus mencapai tahap kolesterol lebih sihat, 79 peratus memperbaiki paras glukosa dan 43 peratus merekodkan peningkatan indeks jisim badan (BMI).
Ketua Pegawai Pemasaran AIA Malaysia Chai Tze Siang berkata hasil itu menunjukkan keberkesanan AIA Vitality sebagai platform kesihatan pencegahan jangka panjang yang meningkatkan kesedaran awal terhadap risiko kesihatan serta memacu perubahan tingkah laku berterusan dalam kalangan pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Heng Zee Wang berkata program itu telah memperkasa rakyat Malaysia untuk mengawal kesihatan mereka, membuat pilihan gaya hidup lebih baik dan menerima ganjaran atas tindakan kecil yang menyumbang kepada perubahan bermakna.
“Sepanjang 10 tahun lepas, kami membantu ahli untuk lebih aktif bergerak, makan dengan lebih baik, mengutamakan rehat serta memperbaiki metrik kesihatan utama. Kami berbangga kerana program ini bukan sahaja mengubah tingkah laku secara meluas, malah turut mentakrif semula peranan insurans, selaras dengan misi kami untuk membantu rakyat Malaysia hidup Lebih Sihat, Lebih Lama dan Lebih Baik,” katanya.
Diintegrasikan dalam pelan insurans hayat dan takaful terpilih AIA, AIA Vitality memberi ganjaran kepada pelanggan bukan sahaja kerana dilindungi tetapi mengambil langkah proaktif untuk kekal sihat, dengan manfaat seperti pulangan tunai, ganjaran kesihatan dan perancangan kekayaan.
Ahli juga boleh meningkatkan status daripada peringkat Gangsa kepada Platinum, sekali gus membuka nilai lebih besar apabila tahap penglibatan meningkat.
Memasuki dekad kedua, AIA Vitality akan memberi penekanan lebih besar terhadap pemperibadian, dengan ahli menikmati sasaran aktiviti yang disesuaikan serta maklum balas diperibadikan melalui alat digital bersepadu, membolehkan program ini memenuhi keperluan individu pada pelbagai peringkat perjalanan kesihatan mereka.
Bersempena dengan ulang tahun ke-10, program itu akan terus berkembang menjadi platform yang lebih inklusif, disokong oleh inisiatif seperti Karnival AIA Vitality dan Score Marathon, mencerminkan komitmen AIA Malaysia untuk menjadikan penjagaan kesihatan pencegahan lebih mudah diakses, menarik dan relevan kepada rakyat Malaysia.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini mengenai inisiatif bersempena dengan ulang tahun ke-10 AIA Vitality, layari https://www.aia.com.my/vitality10anniversary.
-- BERNAMA
