KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Teknologi Petronas (UTP) telah mewakili Malaysia pada peringkat antarabangsa sebagai delegasi Sidang Kemuncak Keamanan Global 2026, yang diadakan di Paris, Perancis, baru-baru ini.
UTP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Azeem Dzakwan Noordin telah dipilih sebagai delegasi Partially Funded pada sidang kemuncak itu, sekali gus menjadi wakil tunggal Malaysia dalam kalangan peserta dari lebih 60 negara.
“Bertemakan ‘Youth as Architects of Global Peace’, program itu menghimpunkan pemimpin muda, pembuat dasar dan pejuang keamanan untuk berdialog mengenai cabaran global serta penyelesaian mampan.
“Ketika sidang kemuncak itu berlangsung, Azeem sedang menjalani latihan industri penyelidikan dan pembangunan di Polytech Dijon, Université Bourgogne Europe, Kampus Le Creusot, Perancis, pusat untuk bidang kejuruteraan dan inovasi industri yang menerima pengiktirafan,” menurut kenyataan itu.
Menurut UTP, tugas Azeem adalah tertumpu kepada pembangunan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) menggunakan sistem robotik kolaboratif, termasuk membangunkan sumber terbuka berasaskan Python serta alat penglihatan komputer untuk tugas manipulasi industri.
“Walaupun latihan industrinya tertumpu kepada inovasi teknikal, sidang kemuncak itu memberikan perspektif lebih luas mengenai peranan kejuruteraan dalam menangani cabaran masyarakat,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Azeem dalam kenyataan sama berkata pengalaman itu amat berharga apabila berpeluang bersama-sama dengan begitu ramai penggerak perubahan global.
“Sebagai pelajar dari Malaysia, saya melihat bagaimana kepelbagaian pandangan boleh disatukan untuk tujuan yang sama, iaitu menyumbang kepada dunia yang lebih aman,” katanya.
Sepanjang empat hari, Azeem turut menyertai perbincangan mengenai diplomasi, penyelesaian konflik, tindakan iklim, respons kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Beliau juga menghadiri sesi yang dijalankan oleh pakar, termasuk ‘Peace in the Age of Displacement’, selain perbincangan mengenai usaha memajukan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) melalui inisiatif yang diterajui belia.
Mengimbau kembali pengalamannya, Azeem menghargai sokongan bekas pensyarahnya, Profesor Madya Dr Mohamad Naufal Mohamad Saad, serta penyelia di Le Creusot, iaitu Profesor David Fofi, Raphael Duverne dan Fabio Ribeiro, yang banyak memberikan bimbingan sepanjang menjalani latihan industri.
Azeem turut merakamkan penghargaan kepada penaja, Yayasan UTP, rakan latihan industri, Muhammad Uwais Hadri Mohd Sofian, serta keluarganya yang sentiasa memberikan sokongan.
Pelajar itu berkata sebaik menamatkan latihan industri di Perancis dan kembali ke UTP, dia berharap pengalamannya dapat menyuntik inspirasi kepada pelajar lain untuk keluar daripada zon selesa dan berani meneroka peluang baharu.
“Melangkah ke persekitaran baharu memang mencabar, tetapi mendorong kita untuk terus maju dengan cara yang tidak dijangka dan mengubah sepenuhnya cara anda melihat sesuatu anda,” katanya.
Pengalaman itu mengukuhkan lagi kefahaman bahawa kejuruteraan bukan sahaja tentang memajukan teknologi, tetapi juga menangani cabaran dunia sebenar serta menyumbang kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Menurut kenyataan itu, pencapaian Azeem mencerminkan komitmen UTP dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja kompeten dari segi teknikal, tetapi juga mempunyai kesedaran global dan tanggungjawab sosial.
“Universiti menekankan pembelajaran antara disiplin dan kerjasama industri bagi melengkapkan pelajar dengan kemahiran untuk mendepani cabaran dunia sebenar yang kompleks,” menurut UTP.
-- BERNAMA
