AM

BDR PENJAWAT AWAM BERMULA, PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN BEROPERASI SEPERTI BIASA 

15/04/2026 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor perkhidmatan awam Persekutuan di seluruh negara bermula hari ini, dengan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat khususnya urusan di kaunter terus beroperasi seperti biasa.

Tinjauan Bernama mendapati majoriti bangunan dan premis kerajaan Persekutuan beroperasi dengan jumlah kehadiran petugas ke pejabat yang minimum, manakala urusan di kaunter termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) bagi perkhidmatan kritikal seperti Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia kekal lancar.

Di ibu negara khususnya pusat pentadbiran Persekutuan di Putrajaya, lebih lengang hari ini berbanding kebiasaan, berikutan majoriti penjawat awam di kementerian di sini, bertugas secara dalam talian dari rumah.

Kebanyakan bangunan kerajaan juga beroperasi dalam mod penjimatan tenaga termasuk tahap pencahayaan yang lebih rendah berbanding kelaziman, manakala operasi lif dihadkan separuh daripada jumlah lif.

Akauntan Bahagian Khidmat Perunding Jabatan Akauntan Negara Malaysia di Putrajaya Azlina Suliman berkata penjawat awam tidak kekok untuk melaksanakan BDR, malah sudah mempunyai jadual serta aliran tugas yang sistematik.

Azlina berkata pegawai juga diperlukan untuk merekodkan tugasan dalam sistem, menggunakan komputer riba pejabat, mengutamakan tugas hakiki serta menyediakan ruang kerja kondusif bagi memastikan produktiviti kekal setanding di pejabat semasa tempoh BDR.

“Untuk BDR, saya perlu daftar masuk dan keluar secara dalam talian serta perlu melaporkan kehadiran setiap jam, serta akses kepada sistem diselaraskan melalui rangkaian peribadi maya (VPN). Perjalanan tugasan masih seperti biasa, tiada perubahan dalam pembahagian tugas," katanya.

Pelaksanaan BDR sebagai langkah strategik kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat itu hanya terpakai kepada penjawat awam Persekutuan di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.

Dasar itu bagaimanapun tidak terpakai kepada petugas awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan, kesihatan dan pendidikan, selain hari BDR ditetapkan mengikut negeri serta hari kelepasan mingguan (HKM), iaitu negeri dengan HKM pada Ahad akan melaksanakan dasar berkenaan dari Selasa hingga Khamis, manakala bagi negeri HKM pada Jumaat, melaksanakan BDR dari Isnin hingga Rabu.

Di KEDAH, pengalaman BDR ketika tempoh pandemik COVID-19 sebelum ini, membolehkan Mohd Azhari Othman, 51, membuat persediaan lebih rapi termasuk urusan harian bagi memastikan urusan kerja tidak terganggu.

“Semasa pandemik, saya antara yang bekerja dari rumah, jadi BDR ini bukan sesuatu yang baharu untuk saya. Cuma ketika itu, anak-anak juga berada di rumah dan tidak perlu dihantar ke sekolah, tetapi kali ini, saya perlu uruskan persekolahan mereka dahulu sebelum masuk bekerja,” katanya.

Sementara itu, di SELANGOR, penjawat awam negeri Nor Fariza Daud, 42, memaklumkan penugasan pekerja tidak terjejas, malah keberadaan petugas dipantau menerusi sistem kehadiran dalam talian.

Walaupun BDR, petugas perlu sentiasa bersedia untuk ke pejabat sekiranya diperlukan oleh pihak pengurusan.

Di PULAU PINANG, Nor Fatin Mohd Syukran, 35, yang menetap di Bayan Lepas dan bekerja di Bangunan Persekutan, Georgetown, membuat persediaan awal termasuk membawa balik dokumen kerja untuk dilaksanakan di rumah.

“BDR tidak menjejaskan mutu kerja memandangkan kebanyakan skop tugas diuruskan secara dalam talian. Kami menggunakan sistem SPOT-Me untuk merekod kehadiran secara elektronik dengan fungsi geolokasi setiap jam, dan setakat ini semua berjalan lancar,” katanya.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Unit Perhubungan Korporat Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Shamaruddin Saidin, 40, berkata kaunter perkhidmatan di MBS dibuka seperti biasa, manakala unit penguatkuasaan terus bertugas walaupun lebih 200 pekerja terlibat dalam BDR secara bergilir.

Di PAHANG, penjawat awam negeri Norhafizan Zulkifli yang bertugas di Unit Komunikasi Strategik berkata sistem giliran BDR membantu memastikan tugasan diurus dengan lebih teratur dan sistematik.

“Dalam masa yang sama, komitmen terhadap tugas tetap menjadi keutamaan kerana jika terdapat keperluan, kita sentiasa bersedia untuk hadir ke pejabat walaupun pada hari BDR,” katanya.

Sementara di PERAK, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata pelaksanaan BDR yang bermula hari ini adalah antara langkah strategik dalam mengurangkan penggunaan tenaga serta memastikan kecekapan operasi perkhidmatan awam kekal terpelihara.

Terdapat juga jabatan dan agensi kerajaan di beberapa negeri seperti di MELAKAPERLIS, KELANTAN dan JOHOR yang masih belum melaksanakan BDR hari ini, berikutan hanya sebahagian kecil penjawat awam layak, memandangkan majoriti menetap berhampiran tempat kerja dengan jarak perjalanan sehala tidak melebihi lapan kilometer.

Bagi penjawat awam di SARAWAK, pelaksanaan BDR tidak dilakukan secara sepenuhnya terutama di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran capaian Internet lemah, ketiadaan talian telefon serta bekalan elektrik yang stabil di kawasan itu.

Penjawat awam di Jabatan Penerangan Sarawak, Ianabella Raeng, 37, berkata keadaan itu menyebabkan BDR dilaksanakan berdasarkan keperluan dan secara terpilih melibatkan kira-kira 30 peratus petugas di jabatan itu.

“Pemilihan dibuat berdasarkan keperluan tugas serta budi bicara ketua jabatan. Walaupun ada kerja yang mungkin tergendala, petugas masih boleh dipanggil ke lokasi jika diperlukan,” katanya.

Di SABAH pula, Rayner Majuntin, 38, antara penjawat awam yang layak BDR, menyifatkan langkah itu sebagai praktikal bagi mengurangkan impak kos sara hidup susulan krisis Asia Barat.

Pegawai Teknologi Maklumat yang menetap di Tuaran dan bertugas di Kota Kinabalu itu berkata BDR memberikan kelegaan buatnya kerana jarak perjalanan dari rumah ke pejabat melebihi 30 kilometer, selain berdepan kesesakan lalu lintas di bandar raya berkenaan.

“BDR tidak menjejaskan tugas kerana keperluan teknikal seperti pengurusan pangkalan data dan analisis sistem dapat dilaksanakan lebih efisien dan dengan akses Internet stabil,” katanya.

Bagi Clarice Mojigoh, 32, pelaksanaan BDR membantu menjimatkan kos bahan api berikutan jarak perjalanan hampir 50 kilometer dari kediamannya di Papar ke pejabat di Kota Kinabalu, selain menyifatkan suasana bekerja dari rumah lebih kondusif untuk bekerja dengan lebih fokus.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan