AM

PERAK KENAL PASTI TANAH UNTUK PROJEK PERTANIAN MODEN LIBATKAN BELIA

15/04/2026 02:18 PM

IPOH, 15 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak melalui kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi teknikal seperti Jabatan Pertanian sedang mengenal pasti kawasan tanah milik kerajaan yang berpotensi dibangunkan sebagai tapak projek pertanian moden khususnya melibatkan golongan belia.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata kerajaan negeri telah banyak meluluskan tanah berkaitan sekuriti dan ekonomi makanan untuk dibangunkan khususnya kepada golongan belia yang berminat.

Beliau berkata kerajaan negeri turut bekerjasama dengan agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi memastikan akses kepada tanah disediakan serta disokong dengan latihan, khidmat teknikal dan bantuan permulaan bagi meningkatkan daya saing usahawan tani muda. 

“Antara inisiatif sedang dipertimbangkan termasuk penyediaan lot-lot pertanian berskala kecil hingga sederhana yang dilengkapi dengan kemudahan asas serta memberi keutamaan kepada golongan belia yang berminat dan berpotensi dalam bidang agroteknologi, fertigasi, pertanian pintar dan lain-lain pendekatan moden.

"Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah juga terbuka untuk mempertimbangkan cadangan pembangunan kawasan pertanian belia secara berkelompok sekiranya terdapat permohonan berdaya maju dan mempunyai sokongan teknikal daripada jabatan berkaitan," katanya ketika sesi soal jawab lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Mohd Zolkafly berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salina Samsudin (BN-Behrang) yang ingin tahu sekiranya kerajaan negeri menyediakan tapak ataupun bank tanah khusus bagi membantu golongan belia memulakan projek pertanian moden.

Beliau berkata pendekatan diambil kerajaan negeri itu dilihat mampu memperluaskan peluang penyertaan belia dalam sektor pertanian moden secara lebih tersusun dan mampan.

"Kerajaan negeri komited untuk memperkasakan perkhidmatan belia dalam sektor pertanian sebagai satu kerjaya masa hadapan yang berdaya maju, seterusnya menyumbang kepada keterjaminan makanan negeri dan negara," katanya.

Terdahulu, Mohd Zolkafly berkata setakat tahun lepas, seramai 140 peserta Ladang Kontrak FAMA Negeri Perak terdiri daripada golongan belia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Salina berhubung langkah diambil kerajaan negeri bagi menarik minat golongan belia menceburi sektor pertanian moden seperti fertigasi, hidroponik dan pertanian pintar.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan