AM

IPOH SPECIALIST HOSPITAL CAPAI 3,000 PEMBEDAHAN JANTUNG TERBUKA DALAM DUA DEKAD

15/04/2026 07:53 PM

IPOH, 15 April (Bernama) -- Ipoh Specialist Hospital berjaya melakukan sebanyak 3,000 pembedahan jantung terbuka sejak lebih dua dekad, satu pencapaian yang membanggakan dalam usaha institusi itu menyediakan rawatan kardiotorasik yang berkualiti tinggi.

Pakar bedah kardiotorasiknya Dr. Ko Chung Sen berkata keberhasilan itu merupakan hasil komitmen berterusan pasukan perubatan hospital berkenaan sejak 26 tahun lepas dalam menyediakan standard rawatan setanding pusat perubatan terkemuka di dalam dan luar negara.

“Untuk mencapai 3,000 kes dalam tempoh 26 tahun bukan perkara mudah. Secara purata, pusat yang melakukan lebih 100 pembedahan setahun dianggap berjumlah tinggi, dan kami berjaya mengekalkan jumlah itu dengan kadar kejayaan mencecah 97 hingga 99 peratus setiap tahun.

“Kebiasaannya, satu pembedahan pintasan jantung mengambil masa antara empat setengah hingga lima jam. Namun, dengan penggunaan mesin terkini serta teknologi dan kemahiran moden, prosedur dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Perubatan Hopital Dr Luis Chen Shian Liang dan Ketua Jabatan Kardiologi Dr Hasral Noor Hasni.

Dr Ko berkata antara cabaran utama dalam menjalankan pembedahan adalah faktor usia serta keadaan kesihatan lain seperti pesakit pernah menjalani dialisis, mengalami amputasi, berkerusi roda atau menghidap strok.

Bagaimanapun, katanya, kadar komplikasi dan kematian selepas pembedahan yang direkodkan hospital itu jauh lebih rendah berbanding piawaian antarabangsa, berada di bawah paras lima peratus yang ditetapkan standard global. 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Chin Keat Chyuan berkata pencapaian 3,000 pembedahan jantung terbuka itu menunjukkan keupayaan kardiotorasik yang tinggi dan konsisten yang dibangun secara berterusan oleh hospital tersebut.

“Ini bukan ukuran dari segi jumlah pesakit, tetapi juga keupayaan untuk menyelesaikan kes kompleks dengan selamat. Ia juga mencerminkan bagaimana Sistem Kesihatan KPJ menyokong penyampaian penjagaan pakar melalui piawaian bersama, kerjasama pelbagai disiplin dan pembangunan keupayaan berterusan.

"Ia memperkukuh komitmen kami untuk meningkatkan lagi penyediaan perkhidmatan pakar kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan