PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengurangkan hukuman penjara terhadap seorang pekerja penyelenggaraan daripada tujuh tahun kepada 10 bulan kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Allahyarham anak saudaranya.
Dalam alasan penghakimannya bertarikh 13 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Yusrin Faidz Yusoff membenarkan sebahagian rayuan Md Zaidi Taib untuk pengurangan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen pada 2024, selepas memutuskan bahawa hukuman tujuh tahun penjara adalah keterlaluan.
Beliau turut memerintahkan Md Zaidi, 58, membayar denda RM10,000, dan jika gagal, menjalani hukuman penjara enam bulan serta membayar pampasan RM25,000 kepada keluarga mangsa, dan jika gagal berbuat demikian akan dikenakan hukuman penjara enam bulan.
Bagaimanapun, mahkamah menolak rayuan Md Zaidi terhadap sabitan selepas dia menarik balik rayuan tersebut dan hanya meneruskan rayuan terhadap hukuman.
Mahkamah Sesyen sebelum ini mendapati Md Zaidi bersalah kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Khairuddin Rani, 40, di bawah Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Kesalahan tersebut dilakukan di luar sebuah rumah di Kampung Durian Mas Manir, Kuala Terengganu pada 1.15 petang, 2 Feb 2023.
Dalam pembelaannya, Md Zaidi mendakwa Khairuddin telah memindahkan secara tidak sah hak milik tanah milik ibunya ke atas nama sendiri, dan mendakwa pertikaian tanah itu menjadi punca mangsa mereka-reka cerita mengenai dakwaan serangan tersebut.
Dalam alasan penghakiman yang dimuat naik di laman sesawang badan kehakiman, Yusrin Faidz berkata Md Zaidi telah menyebabkan kecederaan parah terhadap anak saudaranya sendiri dengan menggunakan sebatang kayu, sehingga mengakibatkan kedua-dua lengan mangsa patah.
Beliau berkata serangan itu berpunca daripada pertikaian keluarga yang telah berlarutan sekian lama berhubung pemilikan tanah, dan bukannya tindakan agresif tanpa provokasi.
“Terdapat perkembangan yang menarik perhatian sejak perbicaraan dan selepas sabitan direkodkan, iaitu mangsa telah meninggal dunia dan balunya berhasrat untuk menyelesaikan kes ini secara baik,” katanya.
Yusrin Faidz berkata kesediaan untuk menebus kesalahan menunjukkan penyesalan ikhlas serta komitmen untuk memperbaiki kesilapan yang berlaku, dan perkara itu amat penting khususnya dalam konteks pertikaian keluarga.
Beliau berkata Md Zaidi merupakan pesalah kali pertama, dan lazimnya pesalah kali pertama layak diberikan sedikit kelonggaran, terutama jika terdapat prospek untuk dipulihkan.
Beliau turut berkata perayu telah menawarkan untuk membayar pampasan berjumlah RM25,000 kepada keluarga mangsa sebagai tanda penyesalan dan usaha perdamaian.
-- BERNAMA
