AM

HARGA BUDI95 KEKAL, RON95 TANPA SUBSIDI DAN RON97 TURUN 25 SEN, DIESEL TURUN 75 SEN

15/04/2026 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Harga runcit tanpa subsidi bagi petrol RON95 dan RON97 masing-masing turun 25 sen seliter, sementara harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal RM1.99 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 April ini, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan penurunan harga runcit itu menjadikan RON95 tanpa subsidi kini pada harga RM4.02 dan RON97 tanpa subsidi RM5.10 seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi juga turun 75 sen kepada RM5.97.

“Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter, sementara harga runcit bersubsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing kekal RM2.05 seliter dan RM2.15 seliter.

“Selaras dengan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) untuk minggu ini, harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

MOF memaklumkan bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak global terhadap rakyat serta memastikan kelangsungan pengeluaran makanan dan rantaian bekalan, kerajaan telah meningkatkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel kepada RM400 sebulan bagi April 2026 untuk 350,000 penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dengan tambahan dana RM35 juta sebulan.

Menurut kementerian, kadar bantuan itu dinaikkan untuk kali yang kedua susulan tekanan pasaran petroleum global, selepas peningkatan kali pertama kadar daripada RM200 kepada RM300 dibuat pada Mac 2026.

Di samping itu, kadar Insentif Pembajakan kepada Pesawah (IPKP) bagi musim penanaman 2026 dinaikkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar, melibatkan dana tambahan kira-kira RM40 juta dan memanfaatkan hampir 200,000 pesawah padi bagi membantu sektor agromakanan menghadapi kenaikan kos input.

“Secara keseluruhan, kerajaan dianggarkan menanggung kira-kira RM7 bilion sebulan berdasarkan harga semasa dengan subsidi RON95 meningkat daripada sekitar RM300 juta sebelum konflik kepada kira-kira RM4 bilion sebulan, manakala subsidi diesel melonjak daripada sekitar RM400 juta kepada anggaran RM3 bilion sebulan.

“Kerajaan MADANI akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil dan mencukupi, di samping terus memperkukuh perlindungan kepada rakyat,” demikian menurut MOF.

-- BERNAMA 

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan