BUTTERWORTH, 15 April (Bernama) -- Seorang mekanik yang parah diserang dan dipukul menggunakan sebilah parang oleh seorang lelaki dikenalinya di Jalan Besar, Telok Ayer Tawar di sini, pada Ahad lepas, dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata dalam kejadian itu, mangsa berusia 30 tahun telah mengalami kecederaan serius di beberapa anggota badan dan telah menerima lima jahitan di kepala.
“Mangsa luka di bahagian belakang badan, putus jari telunjuk tangan kanan selain jari tengah tangan kanan serta pergelangan tangan kirinya hampir putus, manakala suspek dalam kejadian itu juga sudah ditangkap di sekitar Butterworth semalam dan direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 21 April ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Azizee berkata hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap lelaki berumur 47 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine selain turut mempunyai dua rekod jenayah dan 11 rekod dadah.
Beliau berkata polis sebelum itu menerima laporan berkaitan kejadian pada 9.16 malam dan hasil siasatan awal, kejadian berlaku di kawasan sebuah bengkel kenderaan.
Katanya, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah.
-- BERNAMA
