AM

KERAJAAN KOMITED WARTAKAN KAWASAN HIJAU KUALA LUMPUR SETIAP BULAN - HANNAH

15/04/2026 09:19 PM

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Kerajaan komited meneruskan pewartaan kawasan hijau dan lapang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur secara berkala setiap bulan bagi memastikan lebih banyak ruang awam dilindungi untuk kegunaan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata langkah itu dilaksanakan menerusi pendekatan fast track oleh Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau yang ditubuhkan untuk mempercepat proses berkenaan.

“Masih banyak lagi kawasan, kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang bekerja keras bersama-sama Pengarah Tanah dan Galian untuk menambah pewartaan setiap bulan. Inilah tumpuan dan keutamaan kita.

“Usaha ini akan diteruskan setiap bulan dengan lebih banyak kawasan sedang dikenal pasti untuk diwartakan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media mengenai penambahan kawasan hijau dan lapang yang telah diwartakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Datin Rahilah Rahmat, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Hannah turut mengumumkan pewartaan 45 lagi kawasan hijau dan lapang seluas 277,663.90 meter persegi, menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang telah diwartakan sebanyak 539 lokasi setakat ini.

“Kawasan ini kini dikunci sebagai milik rakyat melalui usaha berterusan Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau di bawah JWP.

“Pewartaan ini bermakna kawasan-kawasan tersebut tidak lagi boleh ditukar kepada tujuan lain secara sewenang-wenangnya dan akan kekal sebagai ruang awam untuk kegunaan komuniti, keluarga serta generasi akan datang,” katanya.

Hannah berkata langkah itu juga sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi menjadikan Kuala Lumpur bandar lebih mampan dan berdaya tahan, termasuk mengadaptasi konsep “Sponge City” dalam menangani isu banjir dan peningkatan suhu bandar.

Beliau berkata orang awam boleh menyemak senarai penuh kawasan yang telah diwartakan menerusi portal rasmi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, https://www.ptgwp.gov.my/portal.

Dalam pada itu, beliau berkata Pasukan Petugas Khusus Pewartaan Kawasan Lapang dan Hijau akan diketuai oleh Muhammad Azmi serta melibatkan pelbagai agensi utama termasuk Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan serta agensi teknikal berkaitan, dengan mesyuarat diadakan secara berkala setiap bulan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan