JEMPOL, 15 April (Bernama) -- Sebanyak 26 tong berisi sisa bahan kimia ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Felcra Air Hitam, Seri Jempol di sini hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung perkara itu pada 11.25 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Jempol dikerah ke lokasi.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati tong berkenaan mengandungi bahan kimia tidak diketahui sebelum mendapatkan bantuan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari BBP Seremban 2.
"Pasukan Hazmat tiba pada 1.24 tengah hari sebelum menjalankan kerja-kerja penilaian dan membuka tong bagi membolehkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil sampel cecair dalam tong itu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu menyebut bacaan awal mendapati bahan tersebut berada pada tahap neutral dengan bacaan PH6, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.59 petang selepas JAS mengambil sampel manakala tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sementara itu, Pengarah JAS Negeri Sembilan Abdul Aziz Parmin berkata kesemua tong masih berada di lokasi di bawah pemantauan pihak berwajib.
"Sampel diserahkan kepada makmal kimia di Melaka untuk mengetahui jenis cecair dipercayai bahan kimia itu, dan keputusan akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
"Memandangkan lokasi itu jauh dari penempatan dan kawasan sungai, kita letakkan dulu di situ secara sementara sebelum dipindahkan ke premis khas yang dilesenkan untuk menyimpan tong tersebut mengikut kategori yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau juga berkata JAS akan mengesan individu yang membuang tong terbabit, dan hukuman boleh dikenakan jika disabitkan kesalahan.
-- BERNAMA
