KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Instagram memperluas ciri-ciri keselamatan Akaun Remaja di Malaysia dengan memperkenalkan tetapan kandungan 13+ yang sesuai dengan umur dan kawalan ibu bapa yang dipertingkatkan untuk pengguna berusia di bawah 18 tahun.
Meta dalam kenyataan hari ini memaklumkan remaja di bawah 18 tahun secara automatik ditetapkan dalam kandungan 13+ yang dikemas kini, yang mengehadkan pendedahan kepada bahan yang berpotensi tidak sesuai dan tidak boleh diubah tanpa kebenaran ibu bapa.
Kemas kini itu direka untuk memastikan remaja melihat kandungan yang setara dengan perkara yang biasanya dibenarkan dalam filem yang sesuai untuk penonton berusia 13 tahun ke atas.
“Remaja kadangkala akan menjumpai kandungan yang tidak senonoh atau bahasa yang kasar seperti dalam filem berkenaan di Instagram, tetapi kami akan terus berusaha memastikan keadaan itu jarang berlaku,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara Tengah dan Asean Clara Koh berkata inisiatif itu menegaskan komitmen syarikat terhadap keselamatan dalam talian bagi pengguna muda.
Akaun Remaja yang dikemas kini itu turut memperkenalkan pilihan Limited Content (kandungan terhad) yang lebih ketat, membolehkan ibu bapa mengehadkan kandungan yang boleh ditonton oleh anak mereka di platform berkenaan.
Perlindungan yang ditambah baik selaras dengan piawaian penarafan filem dan mengambil kira maklum balas daripada ibu bapa.
“Selain dasar sedia ada yang menyembunyikan atau melarang cadangan kandungan berunsur seksual, imej atau grafik yang mengganggu, serta kandungan dewasa seperti jualan tembakau atau alkohol, dasar kami yang dikemas kini akan melangkah lebih jauh lagi.
“Hal ini termasuklah menyembunyikan atau tidak menyarankan hantaran yang mengandungi bahasa kasar, aksi berisiko tertentu, dan kandungan tambahan yang boleh menggalakkan tingkah laku berbahaya, seperti hantaran yang memaparkan peralatan berkaitan ganja,” menurut Meta.
Syarikat itu memaklumkan bahawa penambahbaikan telah dibuat terhadap teknologinya untuk mengenal pasti dan mengehadkan akses kepada kandungan yang bersesuaian dengan umur dengan lebih baik di seluruh platform.
Antara langkah baharu ialah remaja tidak lagi boleh mengikuti akaun yang kerap berkongsi kandungan tidak sesuai dengan umur, manakala akaun berkenaan juga akan dihadkan daripada berinteraksi dengan pengguna remaja.
Selain itu, fungsi carian telah diperkukuh untuk menyekat pelbagai topik sensitif atau istilah matang seperti bunuh diri, mencederakan diri sendiri, gangguan pemakanan, alkohol atau kandungan ganas.
Remaja juga akan dihalang daripada mengakses kandungan terhad melalui saranan, suapan, cerita atau mesej langsung.
Pelaksanaan ciri-ciri yang dikemas kini itu telah bermula secara berperingkat dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia dalam tempoh sebulan akan datang.
-- BERNAMA
