AM

KKR BINA BILIK DARJAH MODULAR, IBS DI SEKOLAH PADAT GUNA PERUNTUKAN KPM - AHMAD

16/04/2026 06:13 PM

JOHOR BAHRU, 16 April (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang melaksanakan projek pembinaan 91 bilik darjah di 70 buah sekolah seluruh negara, bagi menangani isu kepadatan pelajar pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata pembinaannya menggunakan kaedah modular dan Sistem Binaan Berindustri (IBS) dengan kos RM80 juta daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

Beliau berkata secara keseluruhan 70 kontraktor dilantik bagi melaksanakan projek berkenaan yang turut meliputi sekolah di Sabah dan Sarawak.

"Projek ini dinamakan impak segera, agar pembinaannya lebih cepat dan manfaat segera dapat dirasai (pelajar)," katanya pada sidang media selepas melawat pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai projek pembinaan bilik darjah menggunakan kaedah berkenaan.

Mengenai dakwaan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) bahawa 4,100 kontraktor berdepan risiko gulung tikar kerana kenaikan harga diesel, Ahmad berkata kerajaan cuba membantu semua pihak susulan krisis tenaga global termasuk mereka yang terlibat dalam sektor pembinaan.

Beliau berkata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini juga telah mengumumkan beberapa perkara antaranya memperluas peluang kepada kontraktor tempatan kecil dan sederhana, membabitkan kerja penyenggaraan, baik pulih dan projek berskala sesuai, agar mereka terus mempunyai aliran kerja dan tidak terpinggir ketika kos operasi meningkat.

Sementara itu, Ahmad berkata sembilan projek pembinaan bangunan bernilai RM91.38 juta sedang dilaksanakan di Johor Bahru menerusi peruntukan kerajaan Persekutuan, sementara dua projek bernilai RM73 juta di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Kesemua projek berkenaan merangkumi pembinaan sekolah termasuk penambahan bilik darjah dan bilik pendidikan khas serta dewan, pejabat agensi kerajaan, tadika serta kemudahan awam lain.

Beliau berkata sebanyak RM35 juta pula diperuntukkan bagi 10 projek membabitkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan bangunan sekolah serta pejabat agensi kerajaan.

Ahmad berkata dari awal tahun hingga bulan ini, JKR Daerah Johor Bahru telah menerima peruntukan RM12 juta berbanding RM6 juta pada tahun sebelumnya, khusus untuk penyelenggaraan Jalan Persekutuan.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi kerja pembaikan permukaan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

"Sebanyak dua projek jalan negeri juga sedang dilaksanakan dengan nilai keseluruhan RM80.46 juta," katanya.

Katanya, hasil tinjauan mendapati pelaksanaan kerja penyelenggaraan dan projek pembangunan berjalan mengikut perancangan, dengan pemantauan berterusan bagi memastikan semua projek disiapkan mengikut jadual, kos dan kualiti ditetapkan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan