Oleh Farhana Poniman
GEORGE TOWN, 19 April (Bernama) -- Walaupun ketidaktentuan geopolitik meningkat, kitaran kenaikan industri semikonduktor global yang berterusan dijangka memacu pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang sehingga 2026.
Ahli Ekonomi Kanan ASEAN bagi OCBC Malaysia Lavanya Venkateswaran berkata sektor elektrik dan elektronik (E&E) negeri itu kekal berdaya tahan walaupun risiko daripada konflik Asia Barat perlu dipantau rapi berikutan ia boleh menjejaskan pengangkutan dan logistik serta berpotensi memberi impak kepada rantaian bekalan semikonduktor.
“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Pulau Pinang secara berterusan mengatasi purata nasional sejak pandemik.
“Dengan kitaran kenaikan semikonduktor global yang dijangka berterusan sehingga 2026, kami menjangka pertumbuhan KDNK Pulau Pinang akan terus mendapat sokongan,” katanya kepada Bernama.
Dari segi eksport, katanya pasaran E&E Malaysia, yang disasarkan terutamanya ke ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan China, dijangka terus memacu pertumbuhan walaupun eksport ke AS terjejas oleh dasar tarif.
Walaupun sektor pembuatan kekal sebagai asas ekonomi negeri, Lavanya berkata sektor perkhidmatan termasuk perdagangan borong dan runcit, kewangan dan insurans, terus menjadi penyumbang penting kepada KDNK negara manakala sektor pelancongan boleh menjadi pemangkin yang berkembang pesat disokong oleh program Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Terdapat usaha bersepadu daripada pihak berkuasa untuk membawa sektor semikonduktor ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai selain meningkatkan kesalinghubungan antara bandar dan mempromosikan pelancongan untuk percutian dan perubatan.
“Ini akan membantu memberikan daya tahan kepada pertumbuhan ekonomi negeri dalam beberapa tahun akan datang,” katanya.
Menangani krisis tenaga global, Lavanya menyifatkan Malaysia sebagai antara ekonomi yang lebih berdaya tahan di ASEAN dari segi kejutan harga dan jumlah perdagangan.
Bagaimanapun, katanya kesan limpahan dijangka dalam sektor seperti baja, plastik dan logistik.
Mengenai sama ada pengeksport di Pulau Pinang sedang berdepan tekanan margin, beliau berkata masih terlalu awal untuk menilai impak sepenuhnya daripada kenaikan harga minyak.
Bagaimanapun, Lavanya berkata ekonomi Pulau Pinang akan terdedah kepada kejutan harga minyak berikutan kepentingan sektor pembuatan kepada pertumbuhan KDNK dan risiko penurunan akan menjadi lebih tinggi jika risiko geopolitik terus meningkat.
-- BERNAMA
