EKONOMI

PELABUR ASING CATAT ALIRAN MASUK RM17.35 BILION DI LAPAN PASARAN ASIA MINGGU LEPAS

20/04/2026 11:22 AM

KUALA LUMPUR, 20 April (Bernama) -- Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bagi dua minggu berturut-turut merentasi lapan pasaran Asia, dengan jumlah aliran masuk bersih mencecah US$4.39 bilion (RM17.35 bilion), menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB).

Dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 17 April, 2026 bank pelaburan itu berkata aktiviti belian bersih didahului oleh Taiwan dan India, manakala jualan bersih dicatatkan di Korea Selatan, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Menurutnya, institusi asing di Bursa Malaysia menjadi penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan minggu berkenaan, sekali gus menamatkan aliran belian bersih selama tiga minggu, dengan aliran keluar sebanyak RM63.7 juta.

“Aliran keluar terbesar direkodkan pada Rabu (RM102.3 juta), diikuti Khamis (RM87.5 juta) dan Jumaat (RM59 juta). Tiga sektor utama yang mencatat aliran masuk bersih asing ialah perkhidmatan kewangan (RM342 juta), tenaga (RM37.2 juta) dan perladangan (RM32.3 juta).

“Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih asing tertinggi ialah utiliti (RM103.7 juta), penjagaan kesihatan (RM99.1 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM79.5 juta),” katanya.

MBSB IB berkata institusi tempatan menamatkan aliran jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut apabila kembali sebagai pembeli bersih minggu lepas dengan aliran masuk sebanyak RM273.3 juta, manakala pelabur runcit kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM209.6 juta.

“Purata volum dagangan harian menunjukkan prestasi bercampur-campur, dengan pelabur runcit meningkat 6.4 peratus, institusi tempatan susut 1.9 peratus, manakala institusi asing meningkat 9.8 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan