AM

ISU MENDAPAN DI JAMBATAN SUNGAI PULAI: KERJA PEMBAIKAN KEKAL DIJANGKA MULA JULAI INI

21/04/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kerja pembaikan kekal di beberapa lokasi mendapan di jajaran Jambatan Sungai Pulai, Pontian, Johor dijangka bermula pada Julai 2026 selepas proses pelantikan kontraktor dimuktamadkan.

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan Surat Setuju Terima (SST) bagi pelantikan kontraktor dijangka dikeluarkan pada bulan itu, dan tempoh pelaksanaan kerja pembaikan dianggarkan mengambil masa kira-kira setahun.

KKR memaklumkan perkembangan itu susulan pemuktamadan reka bentuk baharu pembaikan menggunakan kaedah sistem piling (Transition Pile RC Slab) oleh pihak pemaju Seaport World Wide Sdn Bhd bersama-sama perunding kejuruteraan yang dilantik.

“Pihak pemaju kini perlu mengemukakan Pelan Pengurusan Trafik kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor untuk kelulusan sebelum kerja pembaikan kekal dapat dilaksanakan,” menurut kenyataan itu.

KKR memaklumkan isu mendapan itu timbul hasil audit penerimaan jalan oleh JKR Johor pada Jun 2023 yang mendapati kadar mendapan jalan melebihi julat dibenarkan iaitu lebih 300mm, sekali gus memerlukan tindakan pembaikan menyeluruh.

“Sehubungan dengan itu, beberapa pendekatan telah diteliti termasuk penggunaan sistem Extended Polystyrene (EPS) sebelum kaedah baharu dicadangkan berikutan kekangan kos,” menurut kenyataan itu.

Pada 12 April, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan melakukan tinjauan di jambatan itu bagi menilai keadaan semasa jambatan tersebut, susulan kebimbangan pengguna jalan raya serta teguran kerajaan negeri.

Semasa itu, Ahmad berkata jambatan tersebut disahkan selamat digunakan meskipun berlaku mendapan tanah di 10 lokasi di sepanjang jajaran jambatan. 

KKR turut memaklumkan sepanjang tempoh tersebut, pihak pemaju bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penyelenggaraan laluan jambatan termasuk kerja pembersihan jalan, penyelenggaraan bahu jalan, longkang, culvert dan pemotongan rumput.

“Pihak pemaju juga bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tampalan jalan, penyelenggaraan perabot jalan serta lampu jalan sehingga diserahkan secara rasmi kepada JKR Daerah Pontian.

“KKR akan terus memantau rapi pelaksanaan projek ini bagi memastikan setiap tindakan mematuhi piawaian teknikal serta mengutamakan keselamatan awam,” menurut  kenyataan itu.

Jambatan Sungai Pulai menghubungkan kawasan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dan Tanjung Bin, dibuka kepada pengguna sejak Januari 2023 sebagai sebahagian daripada pembangunan infrastruktur strategik di selatan Johor.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan