IPOH, 21 April (Bernama) -- Kekurangan jumlah pelancong yang bermalam di Perak menyukarkan kerajaan negeri menarik minat hotel bertaraf antarabangsa atau empat bintang ke atas untuk beroperasi negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata kerajaan negeri telah dan sedang mengusahakan pembangunan 'hotel butik' dalam Perak.
Beliau berkata ketika ini beberapa hotel butik di Ipoh telah beroperasi dan hotel berkenaan menawarkan kelebihan untuk pelancong mendapatkan kualiti tidur yang baik.
"Sebenarnya ramai pelancong, mereka tak perlukan hotel lima bintang, enam bintang, tujuh bintang, tetapi apa yang berlaku, mereka nak tidur dengan selesa, bersih (persekitaran), tandas, bilik air serta katil yang bersih dan sebagainya. Jadi, hotel butik sudah sesuai untuk mereka ...," katanya pada sesi soal jawab pada Persidangan DUN Perak, di sini hari ini.
Loh berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Wong Chai Yi (PH-Simpang Pulai) berkenaan langkah diambil kerajaan negeri untuk meningkatkan bilangan pelancong yang berbelanja tinggi dan bukan setakat singgah semata-mata, selain strategi memanjangkan tempoh penginapan serta lawatan berulang ke Perak.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri turut memerlukan hotel jenama antarabangsa, serantau atau tempatan yang bertaraf tinggi bagi menarik minat pelancong untuk menginap serta berbelanja di Perak.
Berdasarkan laman web Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), hotel butik perlu mempunyai sekurang-kurangya 10 bilik atau 50 katil, selain menawarkan perkhidmatan yang mesra, bersifat personal serta mewah dengan konsep dan reka bentuk yang unik dan tersendiri.
Hotel dalam kategori itu berupaya menarik pelancong spesifik (niche market) yang mencari penginapan berbeza dan istimewa bagi memenuhi kepuasan tersendiri.
-- BERNAMA
