IPOH, 21 April (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian) 2026 bagi menerima pakai Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667].
Pindaan yang bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan kesalahan berkaitan hutan itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan RUU itu berkata dari 2023 hingga 2025, sebanyak 8,075 aktiviti pemantauan telah dijalankan di lapangan meliputi kawasan Hutan Simpanan Kekal bagi memperkukuh kawalan serta pengesanan awal terhadap sebarang aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan.
Beliau berkata di samping itu, sebanyak 13 operasi bersepadu turut dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan berkaitan yang bertujuan meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan secara menyeluruh dan bersepadu di lapangan.
"Hasil daripada pelaksanaan usaha berterusan ini, sebanyak 127 kes kesalahan hutan direkodkan, termasuk 28 kes yang melibatkan aktiviti pembalakan haram. Dalam tempoh yang sama, sebanyak 228 individu telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
"Daripada jumlah keseluruhan kes yang disiasat, sebanyak tujuh kes telah berjaya dituduh di mahkamah untuk tindakan perundangan selanjutnya," katanya.
Saarani berkata daripada keseluruhan tindakan penguatkuasaan tersebut, sebanyak RM1.15 juta (RM1,155,450) kompaun dan ganti rugi telah dikeluarkan serta RM146,000 denda dikenakan selain diselesaikan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Kesemua pencapaian itu mencerminkan keberkesanan pelaksanaan penguatkuasaan secara berterusan serta komitmen bersepadu dalam memastikan pengurusan hutan dilaksanakan secara lebih berintegriti, tegas dan berkesan.
"Maka, apabila pemakaian Akta A1667 ini dikuatkuasakan, keberkesanan tindakan penguatkuasaan dijangka meningkat dengan lebih ketara, di samping memperkukuh keupayaan pihak berkuasa dalam menangani kesalahan berkaitan hutan secara lebih tegas dan menyeluruh," katanya.
Beliau berkata Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak Bil. 2180 bertarikh 29 Mei 2025 telah bersetuju untuk meluluskan penerimaan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 [Akta A1667] dengan pengecualian Seksyen 7, 8, 24(a) dan (b)(i) serta 60(d).
Sementara itu, DUN turut meluluskan usul melantik Ahli Jawatankuasa Pemilih dengan lebih suara bersetuju membabitkan Yang Dipertua DUN Perak Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid sebagai pengerusi serta Timbalan Yang Dipertua DUN Perak Jenny Choy Tsi Jen sebagai timbalannya, selain enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan dan pembangkang turut dilantik sebagai ahli jawatankuasa.
ADUN Lintang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun ketika membentangkan usul itu berkata jawatankuasa tersebut berperanan mewujudkan, meluluskan terma rujukan, tugas dan tanggungjawab serta memilih ahli jawatankuasa pilihan khas.
Selain itu, sidang dewan turut meluluskan Usul Mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Masyarakat Menua, Miskin Bandar, Bandar Pintar dan Sekuriti Makanan, dengan lebih suara bersetuju.
Persidangan bersambung ke satu tarikh yang akan ditentukan kelak.
-- BERNAMA
