SANDAKAN, 22 April (Bernama) -- Semangat perpaduan dan keprihatinan rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan terserlah apabila sokongan serta bantuan dari Semenanjung terus "mengalir" buat mangsa tragedi kebakaran besar di Kampung Bahagia, di sini.
Wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kebajikan Marhaen Sandakan Mohamad Kadir Abd Jalil berkata keprihatinan itu dapat dilihat apabila banyak kenalannya dari Semenanjung menyatakan kesediaan untuk turun padang atau menyalurkan bantuan.
“Seorang daripada kenalan saya telah bertindak segera dengan menghubungi saya untuk menyumbangkan 30 khemah khusus bagi kemudahan penduduk yang terjejas teruk. Tindakan ini memperlihatkan semangat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada Bernama.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air Kampung Bahagia di sini memusnahkan kira-kira 1,000 rumah, melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Mohamad Kadir berkata sumbangan khemah itu amat mendesak memandangkan sebahagian mangsa kebakaran memilih untuk tidak tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS), sebaliknya bermalam di tapak runtuhan rumah masing-masing.
"Mangsa kebakaran ini tidur beralaskan kanvas dan beratapkan langit, jadi melihat perkara ini atas dasar manusiawi, ramai pihak awam yang bersedia menawarkan bantuan sewajarnya," katanya kepada Bernama.
Mohamad Kadir yang lebih dikenali sebagai Wan dalam kalangan rakan NGO berkata pasukannya juga giat mengagihkan makanan dan minuman hasil sumbangan pelbagai pihak sejak hari pertama kejadian dengan menghantar sebanyak 140 karton air mineral serta 300 pek roti kepada mangsa pada sebelah petang.
Inisiatif tersebut diteruskan pada sebelah malam hari yang sama apabila mereka membawa masuk 300 bungkus makanan untuk memastikan mangsa tidak kelaparan.
"Semalam pula, lebih 1,000 bungkus roti dan air telah kita hantar ke kampung ini dengan hasil kerjasama beberapa syarikat termasuk pengusaha restoran tempatan," katanya.
Selain sumbangan berbentuk agihan makanan berbungkus, inisiatif murni ini turut disambut baik oleh Restoran Siang-Siang Sandakan yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memasak secara langsung di tapak kebakaran.
Wakil restoran itu, Mohd Adhah Sariffudin, 28, berkata langkah memasak di lapangan itu diambil memandangkan kesemua mangsa telah kehilangan tempat tinggal dan tiada sebarang kelengkapan memasak.
"Pagi ini, kami menyediakan sarapan mi goreng, telur, sosej dan minuman panas dengan membawa sebanyak 100 kilogram mi serta 40 kotak telur untuk dimasak terus di lokasi ini," katanya sambil menambah menu berbeza akan disediakan untuk makan tengah hari dan malam.
Sementara itu, wakil sebuah syarikat swasta Althomy Jul Tong, 49, turut berada di lokasi untuk menyerahkan sumbangan 200 kampit beras serta bakul makanan bagi mengurangkan beban mereka yang ditimpa musibah.
“Inilah sumbangan kami buat penduduk yang terjejas dan diharapkan sumbangan ini dapat membantu,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi turut mendapati pelbagai pihak sedang sibuk menghulurkan bantuan pakaian dan keperluan anak kecil, manakala Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Sekong telah mengambil inisiatif membina 10 tandas sementara demi menjaga aspek sanitasi mangsa.
-- BERNAMA
