AM

MCMC TERIMA 463 PERMOHONAN TURUN KANDUNGAN BERITA PALSU BERKAIT KRISIS BEKALAN GLOBAL - FAHMI

22/04/2026 05:31 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 463 permohonan penurunan kandungan berita palsu berkait krisis bekalan global diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada orang awam setakat 7 pagi tadi, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata semua permohonan yang diterima dipanjangkan kepada penyedia platform media sosial berkenaan untuk tindakan susulan mengikut prosedur sedia ada.

Beliau berkata berdasarkan aduan diterima, platform Facebook mencatat jumlah tertinggi dengan 185 permohonan, diikuti TikTok 142 kandungan, manakala Threads merekodkan 131 kandungan.

"Daripada 463 permohonan ini, sebanyak 65 kertas siasatan dibuka. Satu kes telah diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah, manakala lima kes menerima nasihat untuk dikenakan arahan kompaun dan selebihnya masih dalam siasatan," katanya pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Beliau berkata kandungan berita palsu yang paling banyak dilaporkan melibatkan isu harga bahan api serta kadar tol berkaitan Selat Hormuz.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi sebarang kandungan, khususnya dalam situasi krisis yang sensitif dan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan