KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Industri acara persembahan negara terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menganjurkan lebih 450 konsert tahun lepas sekali gus menyumbang hampir RM1.72 bilion kepada ekonomi Malaysia.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata secara keseluruhan, industri budaya dan kreatif Malaysia kini menyumbang sekitar 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar bersamaan lebih RM130 bilion.
“Tahun ini, jom kita sasarkan lebih tinggi lagi... inisiatif seperti Insentif Konsert dan Acara Malaysia (CEMI) diwujudkan untuk membawa artis antarabangsa, menarik pelancong dan mengembangkan keseluruhan ekosistem industri,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi akan mengemukakan cadangan kepada Jemaah Menteri bagi menyalurkan bantuan tambahan kepada penganjur acara susulan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hingga penghujung 2027.
Beliau berkata kerajaan percaya terhadap bakat dan kebolehan anak muda Malaysia yang sedang membina kerjaya dalam bidang tersebut.
“Ekonomi kreatif bukan sekadar di pinggiran, sebaliknya merupakan nadi penting masa depan Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
