MELAKA, 22 April (Bernama) -- Seorang lelaki yang juga pempengaruh media sosial, ditahan bagi membantu siasatan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun positif dadah jenis tetrahydrocannabinol atau ganja.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata lelaki berusia 39 tahun yang merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak berkenaan, telah direman tujuh hari bermula 16 April dan disambung lagi lima hari bermula esok hingga Isnin depan (27 April), bagi membantu siasatan.
“Pada 14 April, kira-kira 5 petang seorang pegawai perubatan di Hospital Melaka telah menerima mangsa dalam keadaan separuh sedar dan mendapati keputusan ujian saringan air kencing mangsa positif tetrahydrocannabinol.
“Ibu mangsa memaklumkan kepada pegawai perubatan berkenaan bahawa mangsa diambil dari rumah pengasuh di Sungai Putat dan pada 11 April mangsa telah diberikan bantuan rawatan pernafasan melalui tiub di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata susulan kejadian itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, telah membuat tangkapan ke atas suspek kira-kira 9.30 malam pada 15 April, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata semakan rekod lampau mendapati, suspek tiada rekod jenayah dan saringan ujian air kencing ke atasnya didapati negatif, manakala kanak-kanak perempuan itu telah pulih dan dibenarkan pulang ke rumahnya.
-- BERNAMA
