EKONOMI

SOLARVEST, MALAKOFF SILVER PEROLEH KONTRAK EPCC BERNILAI RM1.06 BILION DI PERAK

23/04/2026 06:54 PM

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Solarvest Holdings Bhd memperoleh kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM1.06 bilion daripada Malakoff Silver Solar Sdn Bhd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Solarvest memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Atlantic Blue Sdn Bhd, akan melaksanakan pembangunan loji solar fotovolta berskala 470 megawatt arus ulang-alik (MWac) serta kemudahan sambungannya di bawah program Solar Berskala Besar 5 (LSS5+) di Larut dan Matang, Perak.

Malakoff Silver Solar merupakan syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek berkenaan, dengan pegangan saham masing-masing sebanyak 20 peratus oleh Solarvest dan 80 peratus oleh Malakoff Corporation Bhd.

“Atlantic Blue akan memulakan pelaksanaan kerja selepas menerima notis untuk memulakan kerja daripada Malakoff Silver Solar dan memastikan projek disiapkan menjelang 29 Feb 2028,” menurut kenyataan itu.

Solarvest memaklumkan Atlantic Blue perlu menyediakan bon pelaksanaan bersamaan 10 peratus daripada nilai kontrak kepada Malakoff Silver Solar sebaik pelaksanaan kontrak EPCC dimuktamadkan.

Menurutnya, bon pelaksanaan itu akan berkuat kuasa dari tarikh notis untuk memulakan kerja dikeluarkan dan kekal sah sehingga 30 hari selepas sijil penerimaan sementara bagi kemudahan itu dikeluarkan oleh Malakoff Silver Solar.

“Atlantic Blue juga perlu menyediakan bon jaminan bersamaan 10 peratus daripada nilai kontrak kepada Malakoff Silver Solar, yang sah dari tarikh pengeluaran bon sehingga sijil penerimaan muktamad dikeluarkan,” menurutnya.

Solarvest memaklumkan penerimaan kontrak itu dijangka memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 serta seterusnya sehingga projek disiapkan.

Dalam kenyataan berasingan, Solarvest memaklumkan projek itu menambah momentum ketara kepada buku tempahannya yang kini berjumlah RM2.7 bilion

“Kami juga menantikan pelaksanaan LSS6 yang dijangka merangkumi Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berskala grid bagi menyokong fasa seterusnya peralihan tenaga Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan