EKONOMI

MALAYSIA DI LANDASAN YANG BETUL CAPAI PERTUMBUHAN KDNK 5.3 PERATUS PADA SUKU PERTAMA - AHLI EKONOMI

23/04/2026 06:58 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berada di landasan yang tepat untuk mencapai pertumbuhan 5.3 peratus pada suku pertama 2026, terutamanya didorong oleh pengembangan meluas merentasi beberapa subsektor, termasuk pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan, kata seorang ahli ekonomi. 

Pensyarah ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Dr Muhammad Irwan Ariffin berkata anggaran itu boleh dicapai walaupun berdepan cabaran geopolitik yang berterusan, terutamanya berdasarkan perkembangan di Asia Barat sekarang. 

Bagaimanapun, katanya, kadar pertumbuhan menunjukkan sedikit penurunan daripada suku sebelumnya pada 2025, dengan suku keempat 2025 merekodkan 6.3 peratus. 

“Tetapi saya fikir, daripada melihat ini sebagai tanda kelemahan asas kita, (kadar) 5.3 peratus harus dianggap lebih kepada penstabilan atau normalisasi selepas pencapaian luar biasa itu disebabkan oleh pemulihan pasca COVID-19 pada suku lepas.  

“Jadi sekarang, kita menuju ke arah normalisasi. Kita pada dasarnya sedang menikmati asas sebenar pertumbuhan ekonomi kita,” katanya pada program The Nation bertajuk ‘Holding Ground: Malaysia’s Growth Story’ terbitan Bernama TV hari ini. 

Muhammad Irwan berkata keupayaan Malaysia untuk mengekalkan pertumbuhan di tengah-tengah ketegangan berterusan di Asia Barat dan ketidaktentuan global yang lebih meluas mencerminkan daya tahan ekonomi yang lebih baik berbanding kitaran kejutan luaran sebelum ini.

Beliau berkata negara telah membina penampan dan kusyen yang lebih kukuh untuk menyerap kejutan luaran, sekali gus mengurangkan risiko gangguan sedemikian yang akan memberi kesan ketara kepada prestasi ekonomi secara keseluruhan. 

“Pada masa lalu, pertumbuhan ekonomi Malaysia terutamanya didorong oleh sektor tertentu yang disasarkan oleh dasar kerajaan dan ini pada asasnya menjadikan pertumbuhan ekonomi yang dipacu oleh satu sektor itu lebih mudah terdedah kepada kejutan luaran. 

“Kini kita telah mengambil pengajaran daripada semua kitaran luaran sebelumnya, kita mengambil keputusan untuk benar-benar meluaskan dan memastikan kita mempelbagaikan asas pertumbuhan ekonomi kita agar kita tidak lagi hanya bergantung kepada satu sektor, tetapi kita sebenarnya mengembangkannya ke sektor yang berbeza,” katanya. 

Beliau berkata walaupun sesetengah subsektor ekonomi beroperasi secara lebih terpencil dengan kesan limpahan yang terhad, yang lain telah menunjukkan hubungan lebih kukuh yang menjana kesan pengganda yang lebih luas merentasi rantaian bekalan. 

Memetik pelancongan sebagai contoh, Muhammad Irwan berkata sektor itu memerlukan pelbagai input dan sumbangan merentasi pelbagai industri, dan bukannya bergantung kepada satu jenis tenaga kerja atau kemahiran, dan ia juga mewujudkan kesan limpahan yang besar yang memberi kesan kepada pelbagai wilayah serta lapisan masyarakat yang berbeza. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan