KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Vitrox Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM51.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 berbanding RM24.16 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan 2025.
Perolehan pula meningkat kepada RM267.05 juta daripada RM141.11 juta bagi tempoh yang sama.
“Syarikat melakarkan pencapaian penting pada suku itu apabila perolehan melonjak sebanyak RM125.9 juta atau 89.2 peratus, didorong peningkatan permintaan terhadap pemeriksaan papan automatik dan sistem penglihatan mesin.
“Ini susulan pemulihan industri semikonduktor global,” menurut Vitrox dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Vitrox menjelaskan dari segi prospek, pihaknya menjangkakan pertumbuhan berterusan sepanjang 2026 memandangkan industri semikonduktor global memasuki fasa pengembangan kukuh.
“Momentum ini dipacu terutama oleh peningkatan permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI), peluasan infrastruktur pusat data, serta kenaikan mendadak harga dalam sektor memori yang dijangka meningkatkan perolehan dengan ketara,” tambahnya.
Berdasarkan unjuran terkini Gartner, pasaran semikonduktor global dijangka melonjak sebanyak 64 peratus pada 2026, melebihi US$1.3 trilion (US$1=RM3.95).
Semikonduktor berkaitan AI dijangka menjadi tonggak utama pertumbuhan itu, membentuk kira-kira 30 peratus daripada jumlah perolehan semikonduktor.
“Sebagai respons terhadap dinamik pasaran ini, syarikat memberi tumpuan strategik kepada aplikasi pembungkusan termaju, yang semakin memerlukan penyelesaian pemeriksaan penglihatan berketepatan dan resolusi tinggi,” tambahnya.
-- BERNAMA
