NILAI, 25 April (Bernama) -- Atlet berbasikal trek lelaki negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengakui masih dalam fasa membina semula prestasi selepas terkandas di repechage pusingan pertama acara keirin pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 di Velodrom Nasional, di sini hari ini.
Shah Firdaus berkata secara ideal dia sepatutnya memulakan kemunculan semula di peringkat perlumbaan yang lebih rendah sebelum bersaing di pentas antarabangsa berintensiti tinggi.
“Sejujurnya untuk saya yang baru kembali, tidak sepatutnya bermula dengan perlumbaan antarabangsa yang tahap seperti ini.
“Sepatutnya saya bermula di peringkat kelas satu, dua dan seterusnya tapi saya terus bermula dengan perlumbaan berintensiti tinggi. Namun, ia juga satu perkara yang baik kerana dapat menilai tahap semasa saya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di sini hari ini.
Pada saingan hari ini, Shah Firdaus menamatkan saringan enam pusingan pertama di tempat keempat dengan catatan masa 10.262 saat (s) sebelum gagal ke pusingan kedua apabila mengakhiri pusingan repechage di tempat ketiga dengan 10.099s.
Atlet berusia 30 tahun kelahiran Muar, Johor itu, berkata faktor kedudukan memulakan perlumbaan serta sedikit nasib turut mempengaruhi prestasinya.
Shah Firdaus berkata penggunaan gear berat buat kali pertama dalam perlumbaan kali ini antara pendekatan baharu bagi menilai tahap keupayaan serta keadaan fizikal, khususnya melibatkan kecederaan lutut dialaminya sebelum ini.
“Permulaan pertama saya mendapat undian di hadapan sedangkan ketika ini saya belum mampu mengekalkan kelajuan dari posisi itu. Bila berada di belakang pula, saya terperangkap di tengah kelompok.
“Jadi hari ini, dari segi posisi memang kurang baik namun itu tidak mengapa. Sudah tentu saya berharap dapat kembali kepada tahap terbaik, mungkin cuba kembali capai bawah 10s. Dari situ, kita boleh bina semula prestasi sedikit demi sedikit,” katanya.
Dalam pada itu, Shah Firdaus berkata sasaran utamanya musim ini adalah Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland bermula Julai ini dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun pada September.
-- BERNAMA
