KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Sebanyak RM2 juta diperuntukkan kepada persatuan penduduk di Sungai Buloh, Selangor bagi memperkukuh pembangunan komuniti setempat serta menangani isu kemudahan asas, keselamatan dan kebersihan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh Datuk Seri R Ramanan berkata perkara itu diumumkan beliau petang tadi dalam satu pertemuan dengan hampir 250 wakil persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) serta Perbadanan Pengurusan kawasan Parlimen Sungai Buloh.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata pertemuan itu menjadi platform penting untuk mendengar sendiri denyut nadi masyarakat di peringkat akar umbi serta memahami isu sebenar yang dihadapi oleh mereka.
“Pelbagai perkara telah dibangkitkan, daripada soal kemudahan asas, keselamatan, kebersihan, hinggalah kepada keperluan memperkukuh keharmonian dan kesejahteraan kawasan perumahan.
“Saya juga mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk semua persatuan penduduk yang hadir pada program ini sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan padu selama ini dan supaya peruntukan berkenaan dapat digunakan membantu komuniti setempat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan semua makluman yang diterima tidak akan dipandang ringan dan setiap isu akan diteliti agar tindakan susulan dapat diambil secara berkesan melalui kerjasama dengan agensi berkaitan
“Saya amat menghargai keterbukaan semua pihak dalam berkongsi pandangan, cadangan dan cabaran yang dihadapi. Komitmen saya jelas, saya akan memastikan suara rakyat diterjemahkan kepada penyelesaian yang nyata dan memberi impak kepada kehidupan seharian,” katanya.
-- BERNAMA
