AM

MALAYSIA PERKASA EKOSISTEM AI, KESELAMATAN SIBER DIPERHEBAT - FAHMI

27/04/2026 11:53 PM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna teknologi kecerdasan buatan (AI), sebaliknya perlu membangunkan keupayaan sendiri dalam bidang berkenaan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata negara juga perlu memperkukuh ekosistem AI serta meningkatkan daya saing pada peringkat global.

“Malaysia bukan sekadar pengguna AI, tetapi kita perlu bina keupayaan sendiri, kukuhkan ekosistem dan bersaing pada peringkat global,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Fahmi berkata beliau mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke majlis pelancaran Pusat Inovasi dan Makmal AI Huawei di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata aspek keselamatan siber akan terus diperkasakan bagi memastikan proses transformasi digital negara dapat dilaksanakan secara selamat dan diyakini.

Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei yang baharu dilancarkan itu, akan memberi perkhidmatan kepada rantau Asia Pasifik yang lebih luas.

Kemudahan keluasan keseluruhan 13,638 kaki persegi itu, menyediakan ruang bagi mempamerkan penyelesaian terkini Huawei serta fungsi bagi transformasi digital dan tenaga.

Selain itu, makmal berkenaan akan menggalakkan kerjasama inovasi serta pembangunan ekosistem yang lebih kukuh, di samping mengeratkan lagi kerjasama antara pihak berkepentingan industri dan pendidikan dalam melatih lebih banyak bakat AI Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan