AM

SABAH DICADANG AMBIL LANGKAH PROAKTIF TANGANI POPULASI, ANCAMAN BUAYA DI KINABATANGAN

27/04/2026 09:15 PM

KOTA KINABALU, 27 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah dicadang mengambil beberapa langkah proaktif dalam menangani isu populasi dan ancaman buaya di Sungai Kinabatangan sebagai usaha mengurangkan risiko keselamatan kepada penduduk setempat khususnya nelayan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag Mohd Ismail Ayob berkata cadangan itu antara lain melaksanakan program kawalan populasi buaya secara terkawal termasuk pemindahan atau pemburuan khas dalam keadaan tertentu dengan membenarkan kawalan atau pemburuan buaya secara tanpa lesen dalam situasi yang benar-benar perlu.

“Kerajaan negeri juga dicadang melaksanakan pemantauan berkala terhadap populasi buaya di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sebelum berlaku kejadian tidak diingini, selain menubuhkan pasukan tindak balas khas untuk menangani aduan penduduk dengan lebih cepat dan berkesan.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin dan dapat mengurangkan risiko kejadian yang boleh mengancam nyawa,” katanya ketika membahas usul terima kasih atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Mohd Ismail berkata Sungai Kinabatangan merupakan antara kawasan terkenal dengan keindahan alam semula jadi serta kekayaan biodiversiti.

Namun, ADUN Barisan Nasional (BN) itu berkata kehadiran buaya turut membawa risiko keselamatan kepada penduduk setempat khususnya nelayan yang menggunakan Sungai Kinabatangan sebagai laluan harian serta sumber utama rezeki mereka.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ismail turut mencadangkan supaya membina loji rawatan air sebagai langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah bekalan air di Kinabatangan khususnya Lamag berikutan masalah air di kawasan itu masih berlarutan.

Turut membangkitkan isu sama Datuk Donald Peter Mojuntin (UPKO-Moyog) yang menggesa agar kelulusan semula pembinaan projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kampung Moyog dipercepat sekali gus dijadikan  keutamaan segera bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan itu.

Donald berkata projek LRA dengan kos RM40 juta sebelum ini telah diluluskan, namun tergendala kerana konsultan asal menarik diri, manakala konsultan baharu mengesahkan kos tersebut tidak lagi mencukupi.

Persidangan DUN Sabah disambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan