Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS dan bercampur-campur berbanding mata wang lain berikutan sokongan daripada harga minyak yang tinggi diimbangi oleh pengukuhan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu dan pendirian berhati-hati susulan keputusan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS.
Pada 8.04 pagi, mata wang tempatan rendah berbanding dolar AS kepada 3.9565/9630 daripada 3.9495/9540 semasa ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Rizab Persekutuan AS cenderung untuk mengekalkan kadar faedah pada paras semasa berdasarkan aktiviti ekonomi yang terus berkembang pada kadar kukuh walaupun pertumbuhan pekerjaan lembap.
Pada mesyuarat ketiga pada tahun ini, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) mengekalkan julat sasaran Kadar Dana Persekutuan pada 3.50 peratus hingga 3.75 peratus.
“Dengan lonjakan harga minyak mentah, ringgit dijangka rendah hari ini, dengan dolar AS/ringgit berpotensi melepasi paras RM3.96,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama dan mata wang ASEAN.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4700/4744 daripada 2.4709/4739 pada Rabu, bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.3381/3469 daripada 5.3330/3391 dan menurun berbanding euro kepada 4.6236/6312 daripada 4.6197/6250.
Mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.0905/0659 daripada 3.0909/0946 pada Rabu, bagaimanapun mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.0765/1022 daripada 12.0791/0980.
Ringgit rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 228.3/228.8 daripada 227.9/228.3 dan menurun berbanding peso Filipina kepada 6.42/6.44 daripada 6.41/6.42 sebelum ini.
-- BERNAMA
