SANDAKAN, 2 Mei (Bernama) -- Sebanyak lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa kebakaran Kampung Bahagia di sini dari dua minggu lepas ditutup sepenuhnya hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Datuk Walter Kenson berkata keputusan itu dibuat susulan persetujuan dalam Mesyuarat Khas Bencana Kebakaran semalam.
“Penutupan PPS berkuat kuasa pada 1 tengah hari ini melibatkan PPS Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gas, SK Kampung Bahagia, SK Karamunting dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Sapi.
“Turut terlibat ialah Dewan Serbaguna Sibuga, Dewan Serbaguna Warga Tua dan Gelanggang Futsal Sim-Sim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen semua pihak sepanjang tempoh pengoperasian PPS tersebut.
Pada 19 April, sebanyak 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Bahagia yang menyebabkan ribuan penduduk terjejas.
-- BERNAMA
