KUALA TERENGGANU, 7 Mei (Bernama) -- Lawatan kerja Menteri Kanan Singapura Lee Hsien Loong ke Terengganu hari ini memperkukuh lagi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang termasuk tenaga baharu dan ekonomi.
Kerajaan Negeri Terengganu dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerusi sesi Taklimat Pembangunan Negeri di Wisma Darul Iman di sini, Lee bersama-sama delegasinya dimaklumkan mengenai aspirasi dan pembangunan mampan negeri di bawah Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030).
“Antara agenda yang dibincangkan termasuklah Tenaga Baharu Terengganu … negeri ini mempersembahkan potensi sebagai hab tenaga hijau melalui projek ikonik seperti Hybrid Hydro Floating Solar (HHFS) di Tasik Kenyir yang merupakan loji solar terapung hibrid terbesar di Malaysia dengan kapasiti penuh 2.5 gigawatt,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, pihak kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut berkongsi tentang pembangunan ekonomi dan pelaburan yang antara lain merangkumi industri silika serta infrastruktur logistik seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pelabuhan Kemaman.
Dalam sesi taklimat yang berlangsung lebih kurang sejam itu, Lee dan delegasi bersama kerajaan negeri Terengganu turut berbincang berkenaan strategi memperkukuh lagi keterhubungan pelancongan, memandangkan Singapura ialah pasaran sumber pelancong asing terbesar bagi Malaysia.
Delegasi Singapura yang hadir pada hari ini termasuklah isteri Lee, Ho Ching; Menteri di Kementerian Hal Ehwal Luar serta Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga Zhulkarnain Abdul Rahim; dan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong.
Turut serta dalam rombongan delegasi ialah Ahli Parlimen Singapura Joan Pereira, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon, dan barisan pegawai Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura.
Selain Ahmad Samsuri, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan ketua-ketua jabatan turut hadir bagi menyambut rombongan delegasi Singapura.
Lee mengadakan lawatan lima hari ke Pahang dan Terengganu bermula dari Isnin lepas hingga esok.
-- BERNAMA
