JERTIH, 3 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyalurkan zakat berjumlah RM4.5 juta menerusi Program Musolla TH bagi membina serta menaik taraf masjid dan surau terpilih, demi kemudahan masyarakat Islam di kawasan yang memerlukan di seluruh negara setakat ini.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata dua buah masjid dan sembilan surau telah dibina melalui program tersebut melibatkan lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
"TH memberikan komitmen yang tinggi dan berterusan sebagai institusi Islam yang melunaskan zakat bagi pihak pendepositnya dalam peranan dan tanggungjawab memperkasakan pembangunan ummah melalui penyaluran zakat bagi tujuan fisabilillah. Komitmen ini dizahirkan melalui pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah setiap tahun, termasuk Program Musolla TH yang telah diperkenalkan sejak 2023.
"Masjid dan surau merupakan institusi yang sangat penting dalam pembangunan ummah. Selain berfungsi sebagai tempat ibadah, ia dapat menjadi pusat penyatuan masyarakat, mengukuhkan ukhuwah serta medium utama dalam memperkasakan syiar Islam di sesuatu kawasan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera, Kampung Seberang, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Mengenai Program Musolla 2025, Mustakim berkata TH memperuntukkan RM1 juta untuk pembinaan surau di dua negeri, iaitu RM500,000 untuk surau ini di Terengganu dan RM500,000 lagi untuk pembinaan surau baharu di Bario, Sarawak.
"Alhamdulillah, hari ini merupakan penyerahan Surau Al-Hajj, Taman Koperat Putera yang telah dibina hasil bantuan zakat wakalah TH berjumlah RM500,000 tersebut. Insya-Allah, surau baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 550 orang ahli kariah dan penduduk setempat.
"Jika sebelum ini tiada surau yang berdekatan, saya percaya surau baharu ini akan memudahkan ahli kariah untuk beribadat, mengadakan majlis ilmu dan program yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama penduduk," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata TH akan terus komited melaksanakan lebih banyak program zakat yang berimpak bagi memastikan golongan sasaran mendapat faedah serta manfaat daripada kesemua program yang dijalankan.
-- BERNAMA
